Utusan Borneo (Sarawak)

23 warga China didakwa berjudi di tempat terbuka

-

Seramai 23 warga China termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini semalam di atas pertuduhan bermain judi dalam talian di tempat terbuka.

Sembilan belas daripada mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Mereka didakwa telah bermain judi di sebuah premis di Taman Melawati, di sini, pada 1.35 petang, 22 Jan lalu, mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurhashima­h Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira faktor kesemua tertuduh merupakan warga asing. Peguam Ravin Singh yang mewakili mereka tidak membuat rayuan untuk jaminan.

Empat lagi individu tidak diambil pengakuan kerana ketiadaan jurubahasa yang memahami loghat dalam bahasa Mandarin yang dituturkan mereka.

Mahkamah tidak membenarka­n kesemua mereka yang berumur antara 17 hingga 46 tahun diikat jamin dan menetapkan 13 Mac untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, ketika serbuan dilakukan polis, mereka disyaki menjalanka­n perjudian dalam talian serta menguruska­n peralatan bagi menjalanka­n pertaruhan judi dalam talian itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia