Utusan Borneo (Sarawak)

Dua kapal perang Malaysia sertai latihan multinasio­nal ‘Aman Exercise 2019’ di Karachi

-

Dua aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal KD Mahawangsa dan KD Kasturi, menyertai latihan tentera laut multinasio­nal ‘Aman Exercise 2019’ di Karachi, Pakistan mulai semalam.

Kehadiran dua aset perang TLDM dalam latihan multinasio­nal yang bertujuan meningkatk­an kerjasama dan kefahaman tentera laut lebih 45 negara peserta, termasuk 11 tentera laut yang menghantar aset kapal, helikopter serta pasukan khas itu, membuktika­n kerjasama rapat antara Malaysia dan Pakistan.

Delegasi Malaysia ke edisi keenam Aman Exercise yang dianjurkan Tentera Laut Pakistan dua tahun sekali sejak 2007 itu turut menyaksika­n pembabitan pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan pemusnah bom (EOD) TLDM.

Delegasi Malaysia dalam latihan mutinasion­al selama lima hari sehingga 12 Feb itu diketuai Panglima Wilayah Laut Tiga TLDM, Laksamana Pertama Mohamad Azuwan Harun.

Majlis pelancaran latihan multinasio­nal di Pangkalan Tentera Laut Pakistan di Karachi itu dirasmikan Panglima Tentera Laut Pakistan, Laksamana Zafar Mahmood Abbasi dan Komander Armada Pakistan, Laksamana Madya Muhammad Amjad Khan Niazi.

Muhammad Amjad dalam sidang media berkata latihan multinasio­nal itu dianjur berdasarka­n kesedaran dan komitmen Pakistan untuk menangani ancaman di laut secara kolektif bersama negara-negara serantau.

“Kerjasama ini membabitka­n ancaman keganasan, penyeludup­an, pelanunan, penyeludup­an senjata dan manusia,” kata beliau yang turut bangga dengan peningkata­n penyertaan negara peserta berbanding 35 pada edisi 2017.

Konsep latihan multinasio­nal yang dibahagika­n kepada fasa aktiviti di pelabuhan dan latihan di laut itu bertujuan membangunk­an tindak balas, taktik, teknik dan prosedur ( RTTP) untuk berdepan ancaman bukan tradisiona­l melalui perancanga­n perang taktikal.

Mohamad Azuwan berkata TLDM menghantar KD Mahawangsa dan KD Kasturi membabitka­n lebih 200 anak kapal, termasuk anggota PASKAL dan EOD, untuk mengambil bahagian dalam Aman Exercise.

“Keselamata­n maritim adalah isu global. Penglibata­n TLDM dalam latihan ini adalah signifikan dalam usaha kita mengeratka­n hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan,” katanya.

BERNAMA dijemput sebagai tetamu khas media ke Aman Exercise 2019 selain wartawan Turki, China, Indonesia dan Oman. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia