Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas anggota UMNO Sabah bertanding atas tiket parti itu bakal menerima saman: Annuar

-

Bekas anggota UMNO Sabah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam PRU Ke-14 lepas dan keluar parti itu bakal menerima saman daripada UMNO, kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata tindakan undang-undang itu akan diambil terhadap ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanding dalam pilihan raya umum lepas.

“Tindakan undang-undang itu diambil bukan untuk menghalang keputusan mereka untuk keluar meninggalk­an parti kerana itu adalah keputusan dan hak masing-masing.

“Ini bukan soal mereka melompat parti tetapi mereka ada kontrak, menerima dana daripada parti, bantuan tertentu daripada parti untuk mendukung amanah parti termasuk menggunaka­n lambang parti dengan tandatanga­n presiden,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan bersama anggota UMNO di sini semalam.

Beliau berkata tindakan itu diambil berdasarka­n keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan proses untuk mengemukak­an saman itu akan memakan masa kerana perlu melalui beberapa proses termasuk penyediaan dokumen dan lantikan peguam.

“Beberapa orang telah disaman, yang lain-lain belum lagi bukan bermakna yang belum itu mereka tidak disaman, MT akan buat keputusan dari semasa ke semasa. Jika mereka ‘rujuk’ semula, itu adalah isu yang berlainan, saman tetap ‘jalan terus’,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata UMNO Sabah telah melantik ketua-ketua di peringkat bahagian termasuk ketua bahagian, ketua pemuda, ketua wanita dan puteri yang hampir kesemuanya adalah muka baharu.

Beliau berkata pelantikan itu bagi menstruktu­r semula parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Katanya, anggota parti yang dilantik itu terbukti sebagai anggota parti yang setia selain telah lama berkhidmat kepada parti itu walaupun tidak memegang sebarang jawatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia