Utusan Borneo (Sarawak)

Pemilik akaun bank luar negara belum lapor pendapatan diminta ke LHDN

Pembayar cukai kategori ini yang diminta hubungi dan lapor pendapatan kepada LHDN

-

KUALA LUMPUR: Individu yang mempunyai akaun bank di luar negara dan mempunyai pendapatan yang belum dilaporkan diminta segera hadir ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah berkata pihaknya telah mengeluark­an surat dan e- mel khusus kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara yang masih gagal membuat pelaporan cukai yang sepatutnya.

“Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta dalam surat dan e-mel LHDN untuk menghubung­i dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDN,” katanya.

Beliau berkata agensi itu mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September 2018 di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik ( AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembanguna­n Ekonomi (OECD).

LHDN memperkena­lkan inisiatif Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) sebagai satu daripada kaedah penyelesai­an cukai bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dikenakan cukai dan disimpan di akaun bank di luar negara tetapi pendapatan tersebut masih belum dilaporkan.

Di bawah program tersebut, kerajaan bersetuju memberi kelonggara­n penguranga­n bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac, 2019 dan 15 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun, 2019.

Dalam perkembang­an lain, Sabin berkata tindakan telah diambil terhadap aduan mengenai segelintir pegawainya yang menjalanka­n tugas secara tidak profesiona­l mengugut pembayar cuka dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan.

“LHDN memberi jaminan aktiviti audit atau siasatan tidak akan melibatkan serbuan ke atas rumah pembayar cukai pada tengah malam,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia