Sikap saling menghormati, nilai kejiranan tinggi jadikan masyarakat lebih sejahtera
Sifat hormatmenghormati dengan nilai kejiranan yang tinggi menjadikan kehidupan masyarakat lebih sejahtera dan penuh perpaduan.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, semua pihak bertanggungjawab memupuk sifat tersebut dalam kalangan masyarakat, khasnya generasi muda.
“Kita harus berasa bangga dengan apa yang kita ada walaupun tinggal di dalam budaya, masyarakat, bahasa dan agama yang berlainan kerana kita orang Sarawak dan kita kekal bersama.
“Inilah keistimewaan dan keunikan kita di Sarawak, kita masyarakat Sarawak dari kecil sehingga dewasa sentiasa mementingkan perpaduan walaupun berbeza budaya, bahasa dan budaya.
“Itulah yang menjadi tonggak kepada kemajuan Sarawak hari ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Gong Xi Fa Cai (Tahun Baharu Cina) Peringkat DUN Pantai Damai 2019 di sini, malam kelmarin.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, setiap perayaan yang diraikan di negeri ini bukan disambut oleh sesuatu kaum, sebaliknya dikongsi bersama oleh seluruh rakyat.
Misalnya katanya, majlis sambutan Tahun Baharu Cina malam kelmarin merupakan kali keenam dianjurkan di kawasan perumahan tersebut yang mempunyai sekitar 200 penghuni berbangsa Tionghua.
Malah, pihak Jawatankuasa Rukun Tetangga di kawasan tersebut turut mengadakan majlis Krismas, Gawai, Hari Raya dan Thaipusam saban tahun.
Menerusinya lagi, masyarakat bukan sahaja menyambut perayaan, malah mengamalkan sikap bergotong-royong dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan yang lain.
Sehubungan itu, Dr Abdul Rahman menyatakan kesudian untuk memberi peruntukan bagi membeli sepasang kostum singa berwarna merah untuk sambutan Tahun Baharu Cina bagi tahun depan.
Pada majlis itu, sumbangan kebajikan turut disampaikan kepada 30 penduduk yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan golongan kurang berkemampuan.
Turut hadir Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Bandar Baru Samariang Azmi Abdul Rani dan Ketua Persatuan Cina Taman Perumahan Bandar Baru Samariang Robert Lee.