Utusan Borneo (Sarawak)

Polis halang kanak-kanak Rohingya kahwin bawah umur

-

Polis di sini berjaya menghalang seorang kanak- kanak perempuan bangsa Rohingya berumur 11 tahun daripada melangsung­kan perkahwina­n dengan seorang lelaki berumur 20 tahun kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata keluarga kanak-kanak itu bersetuju untuk menangguhk­an perkahwina­n itu setelah dinasihati pegawai polis yang turut dibantu pegawai tadbir agama daerah ini.

“Kami juga memaklumka­n jika mereka ingin meneruskan perkahwina­n, mereka perlu melalui proses permohonan perkahwina­n dengan pihak pejabat Agama Islam dan mahkamah.

Mereka mengaku faham dan akan patuh pada arahan,” katanya ketika dihubungi malam kelmarin.

Menurutnya satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pengarah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di sini Rabu lepas yang mendedahka­n kanak-kanak berkenaan yang merupakan bekas pelajar di pusat pembelajar­an kelolaan NGO itu akan dikahwinka­n.

“Susulan laporan polis yang dibuat lelaki itu, polis berjaya mengesan kanak-kanak perempuan berkenaan dan keluargany­a di Taman Perai di sini serta mengadakan pertemuan bagi mendapatka­n penjelasan daripada mereka berhubung laporan berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata, bapa kanak-kanak itu yang berusia 46 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak mengaku mahu mengahwink­an anaknya itu dengan seorang lelaki berusia 20 tahun atas alasan lelaki itu dapat menjaga anaknya.

Katanya susulan persetujua­n keluarga kanak-kanak perempuan tersebut untuk menangguhk­an perkahwina­n berkenaan, polis telah memaklumka­n perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang akan memantau kanakkanak perempuan itu dari semasa ke semasa.

Menurutnya pihak Pesuruhjay­a Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) turut dimaklumka­n berhubung perkara itu ekoran semua yang terlibat dalam kes itu merupakan pemegang kad UNHCR. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia