Utusan Borneo (Sarawak)

Hampir 85 peratus kebakaran Gunung Baling dipadam: Bomba

-

Hampir 85 peratus kebakaran yang dikesan di Gunung Baling, Baling yang berlaku sejak empat hari lepas telah berjaya dipadamkan sehingga kini, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud.

Bagaimanap­un katanya, sekiranya keadaan cuaca semalam panas dan angin kuat ada kemungkina­n api yang telah dipadam marak semula.

“Sehingga kini, hampir 85 peratus kebakaran berjaya dipadamkan dengan menggunaka­n jalan darat dan udara dan operasi pagi ini (semalam) yang bermula jam 7.30 pagi hanya mengesan beberapa titik kecil kebakaran yang jumlahnya semakin berkuranga­n.

“Kita juga mengesan satu titik kebakaran yang menghala ke arah kuari Gunung Baling tapi masih dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Mohd Jamil berkata penggunaan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih diteruskan bagi memadam kebakaran menerusi pelepasan ‘water bombing’ dari udara.

Mohd Jamil berkata sehingga 9 pagi semalam sebanyak tujuh beg ‘water bombing’ telah dilepaskan ke lokasi kebakaran di gunung itu.

“Selain itu, anggota bomba menggunaka­n ‘fire beater’ dan ‘jet shooter’ untuk membantu memadamkan kebakaran kecil yang turut dibantu oleh anggota daripada agensi penguat kuasa yang lain,” katanya.

Punca kebakaran itu yang bermula Rabu lepas belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkina­n ia disebabkan aktiviti pendakian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia