Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita bermasalah psikiatri didakwa penyebab kebakaran Paris

-

Seorang wanita dengan sejarah masalah psikiatri telah didakwa atas tuduhan memulakan kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri di Paris di mana 10 terkorban, kata pendakwa raya Perancis.

Pendakwa raya di Paris berkata suspek, yang ditahan di sebuah kemudahan psikiatri polis sejak dia ditangkap, didakwa kelmarin atas tuduhan dengan sengaja memulakan kebakaran “yang menyebabka­n kematian”.

Kebakaran pada Selasa lepas di beberapa tingkat atas sebuah bangunan dalam daerah Paris ke-16 yang mewah merupakan kejadian yang paling buruk di ibu negara sejak 2005.

Seramai 30 orang cedera dalam kebakaran itu, yang memusnahka­n kebanyakan bahagian belakang bangunan.

Suspek dalam lingkungan usia 40-an, yang tinggal di bangunan berkenaan, pernah dirawat sebanyak 12 kali di kemudahan psikiatri di Paris sejak sedekad lalu.

Hanya enam hari sahaja sebelum kebakaran yang menyebabka­n kematian itu, dia dibenarkan untuk meninggalk­an sebuah klinik selepas seorang doktor mengisytih­arkan dia sihat untuk pulang selepas 12 hari dia menginap di sana, kata pendakwa Remy Heitz di satu sidang media pada awal minggu ini.

Rakaman dramatik bagi kebakaran waktu malam itu menunjukka­n api yang marak di tingkap dan anggota bomba yang menaiki tangga sempit untuk menyelamat­kan penghuni yang ketakutan, ada yang hanya memakai baju tidur sahaja, dari tingkat teratas blok setinggi lapan tingkat terbabit.

Suspek kerap berkelahi dengan seorang jiran, yang juga seorang anggota bomba, dan sekali lagi terlibat dalam pergaduhan dengan anggota bomba tersebut sejurus sebelum kebakaran berlaku, kata polis.

Dia “mabuk ketika ditahan dan cuba membakar sebuah kereta”, kata polis.

Wanita itu sudah pun ada masalah dengan polis, termasuk sekali kerana melakukan kerosakan dengan api, tetapi dia tidak pernah disabit kesalahan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia