Utusan Borneo (Sarawak)

Padah berjudi dalam hutan

-

Dua belas lelaki yang sedang leka berjudi daun pakau ditahan dalam serbuan di sebuah bangsal dalam hutan di Jelutong di sini, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata bertindak hasil maklumat dan risikan dilakukan, sepasukan anggota unit Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap, Maksiat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menyerbu bangsal itu pada 4 pagi.

Beliau berkata kesemua lelaki ditahan itu berusia 30 hingga 55 tahun.

“Semasa serbuan itu, mereka sedang leka bermain judi namun ada cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, tetapi berjaya ditahan kerana pihak kami terlebih dahulu mengepung kawasan bangsal berkenaan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata polis merampas 52 keping daun pakau serta sejumlah wang tunai dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia