Utusan Borneo (Sarawak)

Mayat pemancing cuba selamatkan mangsa kemalangan ditemui

-

Setelah pelbagai usaha dilakukan, akhirnya mayat pemancing yang hilang ketika menyelamat­kan empat mangsa kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan Jumaat lepas ditemui kira-kira jam 7.24 pagi semalam.

Mayat Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dijumpai oleh orang awam dalam keadaan terapung di kawasan muka kuala Tanjung, Sungai Terengganu iaitu kira-kira 2.5km dari lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata mayat mangsa dinaikkan oleh anggota Mencari dan Menyelamat (SAR) bomba.

“Keluarga mangsa telah melakukan pengecaman dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

“Dengan penemuan ini operasi dan pusat kawalan operasi SAR ditutup secara rasmi pada 8.30 pagi,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Abdul Bari Asyraf yang ketika itu sedang memancing bersama rakannya, terjun ke dalam muara sungai selepas melihat kereta pacuan empat roda itu terjunam.

Selain beliau, empat lagi orang awam turut melakukan perbuatan sama bagi menyelamat­kan empat beranak di dalam kereta terbabit. Empat beranak itu bagaimanap­un selamat dan dihantar ke HSNZ untuk rawatan.

Operasi SAR juga membabitka­n orang awam malah ia menarik perhatian pemimpin kerajaan negeri hingga menganjurk­an solat hajat malam tadi sebagai antara usaha pencarian Abdul Bari Asyraf. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia