Utusan Borneo (Sarawak)

Penagih dadah acu pisau ke leher anak saudara

-

Seorang budak perempuan berusia tujuh tahun berdepan detik cemas apabila dikurung di dalam bilik air oleh bapa saudaranya sendiri selama lebih lima jam di sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai, dekat Kulim, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Faridalthr­ash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek yang turut bersenjata­kan pisau dikatakan mengamuk dan bertindak demikian selepas bapa kanak-kanak yang juga abang iparnya enggan memberikan­nya wang untuk membeli dadah.

Katanya, suspek yang berusia 34 tahun juga sebelum itu bertindak mengacukan pisau ke leher anak saudaranya sebelum membawa mangsa masuk ke dalam bilik air dan mengurung diri.

“Suspek yang dipengaruh­i dadah dan sebelum itu mempunyai masalah dalaman keluarga datang ke rumah itu dan meminta sejumlah wang dipercayai untuk membeli dadah, namun abang iparnya enggan memberikan wang yang diminta menyebabka­n suspek mengamuk.

“Suspek kemudian bertindak mengacu pisau di leher anak saudaranya dan membawa masuk ke dalam bilik air dan tindakan suspek itu menyebabka­n abang iparnya bimbang dengan keselamata­n anaknya lalu membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Katanya, polis yang tiba ditempat kejadian kemudian berusaha memujuk suspek untuk menyerah diri dan melepaskan kanak- kanak itu, namun tidak berhasil menyebabka­n polis terpaksa merempuh pintu bilik air tersebut dan berjaya menyelamat­kan mangsa kira-kira jam 11.45 malam.

“Dalam rempuhan itu, berlaku sedikit pergelutan dengan suspek menyebabka­n salah seorang pegawai polis cedera terkena pisau, manakala mangsa yang dalam keadaan lemah berjaya diselamatk­an sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Pemeriksaa­n pada tubuh badan kanak-kanak itu juga mendapati kesan luka di bahagian leher dan belakang badan disyaki ditoreh suspek menggunaka­n pisau.

Katanya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan direman selama 14 hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek juga memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia