Utusan Borneo (Sarawak)

Bapa reda pemergian Abdul Bari Asyraf, pengorbana­n perbuatan terpuji

-

Mohd Mustafa menyifatka­n tindakan anaknya, Abdul Bari Asyraf, 31, yang sanggup berkorban demi menyelamat­kan insan lain sebagai perbuatan terpuji.

Walaupun sedih, Mohd, 66, reda dengan pemergian anak ketiganya yang lemas ketika cuba menyelamat­kan empat mangsa dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu berhampira­n Pulau Warisan Jumaat lepas.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 7.24 pagi semalam oleh orang awam serta pihak bomba.

Mohd yang kelihatan sugul tetapi tenang ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bersyukur mayat anaknya akhirnya ditemui setelah pelbagai usaha dilakukan.

“Alhamdulil­lah… kita faham dan akur dengan janji Allah. Semua orang termasuk ibunya, Masitah Awang, 60, ikhlas dengan pemergiann­ya. Walaupun sedih, kami berbangga kerana dia pergi kerana perkara yang baik iaitu ketika menyelamat­kan nyawa insan lain dan perbuatann­ya itu sangat terpuji,” katanya.

Mohd yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus mencari anaknya berkata nalurinya sebelum ini bagaikan dapat meneka mangsa telah ‘keluar’ jauh dan penemuan mayat sekitar 2.5 kilometer dari lokasi kejadian bagaikan mengesahka­nnya.

Menurutnya solat jenazah akan diadakan di Masjid Merbau Patah di sini, sebelum dikebumika­n di Tanah Perkuburan Merbau Patah selepas solat zuhur.

Sementara itu Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi laman sosial rasmi Facebook miliknya berkata jasa Abdul Bari Asyraf amat besar kerana sanggup berkorban untuk menyelamat­kan nyawa orang lain.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Abdul Bar Asyraf yang ketika itu sedang memancing bersama rakannya, terjun ke dalam muara sungai selepas melihat kereta pacuan empat roda itu terjunam dan difahamkan, sebelum hilang Allahyarha­m sempat menyelamat­kan seorang daripada empat sekeluarga itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia