Utusan Borneo (Sarawak)

Pakatan Harapan Selangor utuh, dorong menang PRK Semenyih

-

Keutuhan Pakatan Harapan (PH) di Selangor memberi semangat positif untuk parti itu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Amirudin Shari berkata lantikan jentera parti yang kuat juga mendorong kemenangan di kawasan itu.

“Namun itu bukan bererti kita harus selesa, kita perlu terus bekerja keras untuk menjawab beberapa dakwaan dan tohmahan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutua­n,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W: Women, Welfare & Wellness di Padang Perbandara­n Ampang Jaya, semalam.

Ditanya mengenai kerjasama PAS dan UMNO di PRK Semenyih, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata strategi kerjasama itu telah berlaku sejak PRK DUN Sungai Kandis meskipun tidak secara rasmi.

“Ada ceramah- ceramah pimpinan PAS di Sungai Kandis, Seri Setia dan kita dapat hadapi, malahan di Balakong PAS membantu kempen MCA namun saya yakin kalau kita bersatu padu dan muafakat, rakyat akan terus beri mandat yang telah kita perolehi sebelum ini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia