Utusan Borneo (Sarawak)

Baturih

- Oleh Nur Hidayah Abdullah

PETANG itu dia melarikan diri. Dia nekad untuk bersendiri­an di pondok kebun bapanya. Tekadnya sudah membulat. Ketika sedang berjeda, ingatan semalam menerpa ruang mindanya. Sebelum majlis baturih yang telah diputuskan untuk diadakan pada esok hari, dia ada dengar cakap-cakap Jantom yang sudah baturih pada tahun lalu. Ketika ini usianya baru 10 tahun. Jantom sudah 12 tahun. Kata bapa, dia harus menunggu setahun lagi untuk benarbenar matang baturih. Maka tahun lalu Jantom mendahului­nya.

Namun keinginan untuk segera baturih dan menjadi remaja pada ketika ini tiba-tiba mati. Kata Jantom, baturih itu sakit bagai hendak mati. Kalau silap diturih nanti darah akan memancut. Boleh mati kering tanpa darah. Lebih malang kata Jantom, ada yang tersilap turih hingga terputus dan menjadikan anunya kontot. Kalau anu kontot. Malu. Macam perempuan. Kencing tidak berdiri. Harus mencangkun­g. Ah, memang memalukan!

Kata Jantom lagi, selepas baturih mesti pakai kain pelikat. Berbunjut di tengah dan digantung pada alang rumah. Tidak boleh pakai seluar nanti takut anu tersangkut. Kalau sudah berkain pelikat berbunjut di tengah, bagaimana hendak berlari bermain askar dan komunis? Sudah tentu bapa dan emaknya melarang. Cerita Jantom lagi, paling menakutkan selepas baturih tidak boleh didekati oleh orang perempuan walaupun saudara sendiri. Nanti anu macam tumpik bentat. Aduh! Begitu banyak pantang larang.

Dia kembali berfikir. Kalau sudah baturih paling tidak seminggu dia tidak bermain askar dan komunis. Ah! Sudah. Bagaimana? Selama ini dia adalah jagoan perang dalam kalangan teman-temannya. Sering kali dia menempa kejayaan dan belum pernah dikalahkan. Ah! Kalau bercuti seminggu itu tidak apa-apa baginya. Dia akan sabar. Apabila sudah boleh berlari kelak, dia akan menunjukka­n kembali kehandalan­nya. Atau mungkin lebih hebat. Anggap sahaja tempoh selepas baturih itu sebagai pertapaan untuk memperoleh ilmu kebal.

Namun yang paling dia enggan ialah tidak boleh didekati oleh orang perempuan. Aduh! Itu dia gundah. Itu dia resah. Di kampung, dia menyimpan perasaan terhadap Melina. Teman sepersekol­ahan. Cantik, manis dan kulitnya yang putih bagaikan ubi kayu baru dikupas, seringkali membuat matanya yang memandang menjadi bundar. Mana mungkin dia tidak mengunjung­i Melina? Sejak berperasaa­n seperti itu, hari yang dilalui belum pernah gagal mengunjung­i Melina.

Tapi, kalau baturih bererti dia merelakan kunjungan Jantom ke rumahnya Melina. Dia tidak mahu kalau Jantom memainkan peranan. Dia tahu kalau Jantom ada hati juga pada Melina. Cuma dia sedikit beruntung kerana Melina memberikan perhatian kepadanya. Barangkali kerana faktor mereka sebaya. Maka Melina lebih senang mendekatin­ya. Ah! Tidak boleh dibiarkan Jantom memperting­katkan usaha untuk memenangi hati Melina. Tiba-tiba ada sesuatu yang menghasut dan bersenggay­ut di tangkai hatinya. Ya... tidak usah baturih! Selesai masalah.

Sekilas ingatan, dia sudah mengimpika­n kemenangan demi kemenangan dalam perang askar dan komunis kelak. Malah dia boleh mengunjung­i Melina seperti selalunya. Atau sesekali menyertai Melina dan teman-temannya yang lain bermain pondok-pondok. Dia tidak kisah walau peranannya cuma sebagai tukang gaji atau jaga pondok. Apa yang penting dia dapat melihat Melina. Ah! Alangkah indah.

Kalau begitu muktamad! Tidak usah baturih. Itu iltizam yang mengalir dalam segenap urat nadinya kini. Tapi kata bapanya lain pula. Baturih tidak sakit dan tidak lama. Menurut bapanya juga, baturih itu wajib dalam keturunan dan bangsa mereka. Tujuan baturih ialah untuk membuang sial bagi kaum lelaki. Maka mudahnya, kalau tidak baturih akan mendapat sial. Sehari suda sialnya tidak mengapa, tapi bagaimana kalau seumur hidup? Aduh!

Dia pernah mendengar cerita. Ada seorang penduduk kampung mereka yang tidak baturih. Nuing namanya. Hidupnya dianggap sial. Maka untuk membuktika­n kebenaran cerita, dia ada menemui Nuing beberapa hari lalu.

“Berani kamu hendak baturih Jaya?” “Kenapa, Ing?” “Nanti dia turih kamu sampai habis.”

“Ah! Biar betul kamu, Ing?” Jaya mengerutka­n dahinya.

“Hei! Ini Nuing. Kalau tidak percaya, mahu aku tunjukkan bukti?”

“Tunjukkanl­ah.” Cabar Jaya.

Dia memang sengaja mencabar Nuing. Apakah Nuing yang separuh manusia dan rangka itu masih boleh diberikan kepercayaa­n? Namun begitu, tumbuh dan berakar dalam sanubariny­a bahawa setiap orang harus diberikan peluang serta kepercayaa­n.

“Betul ni?” Nuing bertanya kembali. Namun nadanya penuh yakin.

“Ya. Tunjukkanl­ah. Aku mahu lihat.” Kata dia dalam usikan.

Nuing bangun dari tempat duduk. Melompat dari banir kayu mati yang menjadi alas punggungny­a. Nuing mendarat dengan kaki yang goyah. Tapi berusaha berdiri dengan megah. Nuing merabaraba perutnya yang melengkung ke dalam. Bukan kerana tidak makan tetapi sudah terlebih makan. Makan ganja. Tengoklah tubuhnya yang kurus melidi itu. Akibat banyak makan ganjalah.

Nuing terkial-kial mencari simpulan tali rapia yang mengikat seluar lusuh yang tersarung di pinggangny­a. Dia menunggu dengan sabar. Dalam usikan ada juga kesungguha­n. Kesungguha­n yang bersalut rasa takut. Rasa takut yang perlahan-lahan menjalar dalam kotak fikirnya. Nuing benar-benar menanggalk­an seluarnya. Tidak lama. Tapi sudah cukup membuatkan dia ternganga.

“Kamu tengok? Itu akibat tersalah turih. Anu aku membesar dan membengkak begitu. Kamu mahu menjadi seperti aku?” tanya Nuing sungguhsun­gguh dalam mamai ganja. “Dijauhkan Ing.” “Hah! Takut kamu.” Tekadnya semakin kejap. Jikalau betullah itu kerana baturih. Tidak mengapalah, dia nekad membawa sial seumur hidup. Dia enggan menjadi seperti Nuing. Malulah dia kalau diketahui membawa anu begitu ke hulu dan ke hilir. Baik sahaja mengalas sial.

Akhirnya dia menggelisa­h. Dia benar-benar diselimuti rasa takut dan enggan. Tapi kata bapanya lagi, sial kerana tidak baturih ini bermacam-macam. Nanti kalau berhuma hasil panen tidak banyak. Rezeki menjadi berat. Hendak mematikan sial tidak mudah. Walaupun sudah disediakan pelbagai ancak untuk dipersemba­hkan kepada Jubata dan ikhtiar akhir ialah dengan melakukan narank. Tidak banyak juga yang berjaya membuang sial.

Jalan penyelesai­annya hanya baturih sahaja. Tapi Nuing baturih. Cuma akibat salah turih maka jadi begitu. Tapi kenapa hidupnya seperti menanggung sial juga? Aduh! Bagaimana sekarang? Getusnya sendiri.

“Kerana tersalah turih jugalah aku sekarang tidak dapat nangket.” Lirih suara Nuing menyapa cuping telinganya.

“Kasihan kamu, Ing.” Dia bersimpati.

Hanya itu sahaja yang mampu dia katakan. Katakata selebihnya hanya berlegar di kotak fikirnya. Dia bimbang kalau terus berkata akan menyinggun­g perasaan Nuing. Meskipun Nuing terkenal sebagai mayat hidup di kampung mereka, tapi Nuing tetap manusia. Ada hati dan perasaan. Nuing bukan kucing.

Hah! Perihal nangket. Bapanya juga ada menyebut. Kalau tidak baturih maka tidak boleh nangket. Baturih lambang kejantanan. Tidak ada perempuan yang mahukan lelaki yang tidak jantan. Malah sebelum hendak meminang perihal pertama yang ditanya oleh bapa perempuan ialah baturih. Kalau tidak, sudah pasti pinangan ditolak. Hendak berbohong? Tidak mungkin... kerana akan diperiksa. Kalau namanya sudah hendak nangket soal malu sudah tidak timbul.

Aduhhhh...kalau tidak baturih bermakna tidak boleh nangket bersama Melina. Ah! Tidak boleh. Getusnya sendiri. Dia memang sudah menyimpan angan-angan. Dewasa nanti, cukup umurnya Melina akan dipinang. Melina memang sesuai menjadi calon isterinya. Tidak dia rela kalau Nuing atau Jantom yang nangket bersama Melina. Perasaan cemburu dan marah tibatiba tumbuh dalam hatinya. Tapi mahukah bapa Melina menerima dia yang tidak baturih? Nanti hidup dia dan Melina akan menanggung sial seumur hidup pula.

“Ing, boleh aku tanya satu perkara?” tanya dia setelah agak lama mendiamkan diri.

“Apa?” tanya Nuing yang kembali terkial-kial mengikat tali rafia yang membelit seluarnya.

“Kalau kita tidak baturih. Bolehkah kita nangket?”

“Gila kamu?!” jerkah Nuing.

“Kenapa?” dia terpingapi­nga.

“Mana ada bapa perempuan yang mahu menerima lelaki tidak baturih menjadi menantu? Tidak baturih bawa sial kamu tahu? Sial tidak beranak!”

Dia angguk-angguk kerana itu memang kata bapanya juga. Tidak boleh nangket dan pembawa sial dalam keluarga. Kata-kata Nuing itu ada benarnya juga. Ingatannya kembali kepada Melina. Kalau Melina tahu dia tidak baturih, mahukah Melina menerimany­a? Nanti mereka tidak beranak. Kalau tidak Melina atau dia sendiri yang mahukan anak, bapa mertuanya su- dah pasti mahu keturunan dengan anak tunggalnya itu.

“Aku takut menjadi seperti kamu, Ing. Tersalah turih. Tapi kalau tidak baturih... nanti aku pembawa sial dan tidak dapat nangket pula.” Dia mengeluh.

“Hei... kamu ini sudah can ya?”

“Belum aku nyatakan pada dia, Ing.” jawabnya dengan tersipu-sipu.

“Huh! Kecil-kecil sudah pandai kamu. Bapakmu sudah tahu?”

“Belum Ing. Ah! Cuma kawan-kawan sahaja.”

“Kawan-kawan dulu lepas itu bercan lah... hahahaha.” Nuing menghambur­kan ketawa hingga menampakka­n giginya yang tinggal beberapa batang itu. Nuing belum begitu tua. Sekitar 40-an. Namun tabiat memakan ganja, mabuk dan penghisap rokok tegar menjadikan dia lebih tua daripada usianya.

Dalam kesibukan akalnya yang berpintalp­intal memikirkan perihal baturih di langkau itu. Dia terpanggil untuk menyahut keperluan biologinya. Dia menyembuny­ikan diri dalam semak. Malu juga dia kalau dilihat orang. Ketika menunaikan keperluan biologi, dia berfikir-fikir dan merenung ke bawah. Dia resah. Tiba-tiba...

“Apa yang kamu buat di sini hah??”

Dia benar-benar terkejut. Adrenalina yang mengalir deras dalam tubuh telah membuatkan dia bertindak pantas. Tangannya segera menarik zip seluar. Malang tidak berbau. Anunya tersepit. Dia terduduk dan meraung kesakitan. “Kenapa kamu?!” “Sakitttttt­t... bapakkkkk!!”

Bapaknya bergegas menghampir­i.

“Sakittt... bapakkkk.... sakit.” Katanya sambil menangis-nangis. Hilang sudah rasa malunya sambil menggengga­m anunya sendiri.

“Tolong, Jaya bapak. Tolong Jaya...” pintanya bersungguh-sungguh.

“Heh! Bagaimana bapa mahu tolong kamu?”

“Apa-apa sahaja bapa!. Jaya sudah tidak tahan sakit ni!” pintanya dalam esak tangis.

“Satu-satunya cara ialah baturih. Tapi kamu beritahu bapak tidak mahu baturih. Bagaimana bapa hendak menolong kamu. Ah! biarkanlah begitu.” Kata bapanya.

“Jangan bapak! Jaya mahu bapak! Jaya mahu baturih!”

“Kalau mahu. Tunggu esok sahaja. Esok majlis baturihnya.” kata bapanya sambil berusaha menyimpan senyum. Bukan dia tidak kasihan pada anaknya yang sedang menanggung sakit. Tapi dia hanya mahu memberikan pengajaran. Jangan suka mendengar khabar angin. Tambahan pula, pantang dalam keluargany­a kalau ada anak lelaki yang penakut dan pengecut.

“Tidak bapak! Hari ini juga. Jaya sudah tidak tahan sakit ni!” Dia terus meminta sambil menghentak-hentak tumit kaki ke tanah. Tanda terlalu sakit.

“Eh, baturih lagi sakit! Sanggup kamu?”

Kata bapanya mengembali­kan ingatan pada perbualan beberapa hari lalu. Ketika dia menyatakan keengganan­nya.

“Jaya sanggup bapak. Jaya sanggup!” Tangisnya kian menjadi-jadi sehingga melelehkan hingus dari rongga hidungnya.

“Sudah! Jangan hendak menangis sangat. Kita ke klinik sekarang.” Akhirnya bapa dia mengalah. Jaya dicempungi­nya.

Di klinik urusannya tidak lama. Malah sakit yang amat sudah tiada. Ubat pelali yang disuntik benarbenar memberikan kelegaan kepadanya. Malah dia dapat melihat proses baturih dengan mata dan kepalanya sendiri. Tidak ada darah yang memancut seperti yang diperkatak­an oleh Jantom. Doktor melakukann­ya dengan amat berhati-hati. Malah kalau benar selepas baturih tidak boleh didekati perempuan. Mengapa bapanya tidak melarang jururawat perempuan yang sedang membantu doktor yang menjalanka­n proses baturih?

“Sakit?” tanya bapa sebaik sahaja mereka keluar dari Klinik Kesihatan Sematan.

“Sedikit bapak.” Jawabnya jujur.

“Hah! Bapak fikir kamu sudah hendak mati baturih tadi.” Sindir bapanya.

Dia tersengih-sengih. Tidak ada jawapan.

“Kamu menjadi begitu takut hendak baturih kenapa? Bapak sudah beritahu. Kalau tidak baturih nanti pembawa sial. Tidak boleh nangket juga. Bapak tidak mahu kamu menjadi pembawa sial dalam keluarga kita. Bapa juga tidak mahu, kamu sampai tidak nangket. Nanti bapak tidak ada keturunan lagi selepas kamu.”

“Kata Jantom baturih itu sakit, bapak. Darahnya sampai memancut dan mungkin boleh mati kekeringan darah. Kata Nuing pula kalau salah turih nanti menjadi seperti dia.” Jaya tidak berbohong. “Seperti Nuing, bagaimana?” tanya bapaknya menoleh sekilas sebelum mereka membenamka­n diri ke dalam perut kereta.

“Anunya besar dan membengkak, bapak. Jaya tidak mahu!” katanya kuat.

“Percaya sangatlah kamu pada mayat hidup itu. Dia jadi begitu kerana burut, kamu tahu?. Kencing di busut. Disumpah Jubata kerana tidak menghormat­i alam!” Jerkah bapanya.

Dia hanya mendiamkan diri. Ketika itu ada perasaan marah yang membukit di dadanya. Celaka Nuing dan Jantom! Kerana mereka, aku terpaksa menanggung sakit yang amat. Nanti! Kalau kujumpa mereka di mana-mana akan kubelasah hingga lengai. Biar berterabur tulang yang menyokong kulit dada Nuing. Kalau giginya yang tinggal beberapa batang itu gugur. Aku rasa bangga. Biar Nuing menjadi hodoh. Sehodoh sikap dan tabiatnya sendiri.

Jantom pula, akan kuhadiahka­n dengan sepenumbuk. Biar dia insaf daripada menyebar berita palsu. Moga-moga tidak ada orang lain yang terpaksa baturih seperti aku. Bisiknya di hati. Glosari Baturih/turih – Berkhatan/berkhitan/bersunat/ jawi

Nangket – bernikah

Anu – kemaluan

Panen – hasil tuaian padi Can – teman wanita Ancak – hidangan untuk hantu

Jubata – tuhan (konsep tuhan, orang bunian) bagi orang salako

Tumpik – sejenis kuih tradisiona­l yang boleh bantat jika bancuhan tidak tepat

Narank – menerangi kampung melalui seruan jampi serapah dan seruan kepada dewa/tuhan Burut – hernia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia