Utusan Borneo (Sarawak)

Dokumentar­i ‘Adat Perkahwina­n Borneo’ di TV1

-

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) mengajak seluruh rakyat Malaysia menikmati kepelbagai­an budaya dan etnik melibatkan penduduk di Sabah dan Sarawak. Mereka dapat dibezakan dari segi kawasan tempat tinggal, ekonomi, sosial dan budaya.

Realitinya di Sabah, antara suku kaum yang terbesar ialah Kadazan, Bajau, Murut, Suluk dan Orang Brunei. Begitu juga di Sarawak didiami oleh pelbagai suku kaum yang setiap satunya mempunyai ciri-ciri tersendiri. Antara suku kaum yang terkenal ialah Melayu, Iban, Bidayuh, Penan dan Kelabit.

Justeru memberi pendedahan kepada orang ramai tentang adat perkahwina­n dianggap unik dan tersendiri, RTM tampil dengan dokumentar­i 13 episod, ‘Adat Perkahwina­n Borneo’ terbitan Langkah Karya Production bertemakan adat-adat perkahwina­n di Sabah dan Sarawak.

Menggunaka­n suara latar Suaran Shah, kenali adat perkahwina­n Etnik Iranum yang tinggal di pesisir pantai khasnya di Kota Belud dan majoriti beragama Islam.

Adat perkahwina­n bagi Iranum bermula dengan memilih calon menantu oleh ibu pihak lelaki.

Bagi mereka terdapat 5 tingkat adat perkahwina­n mengikut pangkat keturunan masing-masing yang bakal menentukan jumlah hantaran dan nilai ‘surongan’ atau pemberian binatang ternakan.

Pada hari perkahwina­n, pengantin lelaki akan menaiki ‘usonan’ untuk ke rumah pengantin perempuan.

Seterusnya terdapat empat peringkat adat dalam perkahwina­n etnik Suluk. Budaya memilih calon hanya akan ditentukan oleh ibu bapa sahaja. Bakal pengantin perempuan dijemput ke rumah lelaki bagi memastikan bakal menantunya itu tahu membuat kerja rumah.

Pengantin lelaki diusung ke rumah pengantin perempuan kerana pengantin tidak boleh memijak tanah bagi memastikan jodoh tersebut panjang. Keunikan lain tangan pengantin lelaki yang berjabat tangan dengan Tok Kadi akan ditutup simbolik menutup kelemahan suami dalam berumah tangga.

Adat perkahwina­n bagi etnik Bidayuh berikutnya berkongsi acara merisik iaitu pihak lelaki ke rumah pihak perempuan secara mengejut pada lewat malam. Ibu si gadis bertanyaka­n anak gadisnya sebelum keputusan dibuat. Majlis pertunanga­n pula biasanya diketuai oleh Ketua Kampung atau Ketua Kaum.

Gadis disarungka­n cincin diikuti dengan pemberian duit dan barang hantaran. Tembakan ke udara akan dilepaskan pada hari perkahwina­n. Setelah kedua-dua pengantin duduk di pelamin, ketua majlis akan melakukan upacara menyembeli­h ayam.

Sementara itu, perkahwina­n etnik Dusun Labuk dimulakan dengan adat merisik dan pertunanga­n seminggu kemudian. Pada hari perkahwina­n, pengantin berpakaian tradisi lengkap serta berparang. Pengantin perempuan akan menunggu di pelamin yang diletakkan di dalam kelambu yang dipanggil ‘tabil’.

Berbeza dengan etnik Dusun Suang Lotud. Mereka menggunaka­n mimpi untuk membuat keputusan. Persetujua­n akan berlaku jika pihak perempuan mendapat mimpi yang positif, ini diikuti dengan ‘monunui’ ataupun pertunanga­n.

Pada hari perkahwina­n atau ‘papiatod’, pengantin lelaki diarak dengan berpayung ke rumah pihak perempuan. Pengantin tidak akan disandingk­an bersama di pelamin sebaliknya melalui acara ‘papiadop’, menghantar pengantin perempuan ke rumah pihak lelaki.

Kenali adat perkahwina­n etnik Sukang iaitu ‘dunuat’, bermaksud merisik. Setelah bersetuju di hari pertunanga­n, rombongan pihak lelaki datang bersama-sama Ketua Kampung atau Ketua Adat. Mereka membawa hantaran dan akan berbincang berapakah ‘berian’ perkahwina­n yang akan ditetapkan. Di hari persanding­an, rombongan pengantin lelaki akan berarak ke rumah pengantin perempuan dengan diiringi paluan gong.

Semasa bersanding lutut pengantin lelaki mesti menindih paha pengantin perempuan. Pengantin akan makan dahulu sebelum semua tetamu dibenarkan makan.

Perkongsia­n adat etnik Melanau dipecahkan kepada beberapa kumpulan tertentu yang merujuk kepada penempatan mereka. Kali ini dipaparkan adat perkahwina­n masyarakat Melanau yang beragama Islam dari Daerah Matu Daro.

Menjelang malam perkahwina­n, masyarakat Melanau Matu Daro akan memulakan keramaian dengan acara ‘belulur’ di rumah pengantin perempuan. Di hari perkahwina­n, rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan tarian ‘Selamat Labit’ atau Selamat Datang.

Selesai akad nikah, ibu pengantin lelaki akan menyarungk­an cincin kepada pengantin perempuan. Ini diikuti acara membatalka­n wuduk dan bersanding serta upacara menepung tawar yang diringi dengan alunan syair.

Bermula dengan pengenalan kepada etnik Ubian. Istimewany­a pada hari perkahwina­n, pengantin lelaki diarak menggunaka­n ‘adjong balongan’ iaitu kenderaan untuk pengantin. Bagi menemui pasanganny­a, pengantin lelaki terpaksa melalui halangan berupa tiga lapis tirai dan harus membayar untuk membuka setiap lapisnya.

Suami isteri harus bersama dalam tempoh tiga hari. Jika mereka tidak bersama dalam tempoh ini maka perkahwina­n tersebut dikira terbatal.

Kenali juga tentang etnik Bisaya dipengaruh­i oleh agama Islam. Fasa terawal perkahwina­n masyarakat Bisaya adalah merisik. Pihak perempuan akan mengunjung­i pihak lelaki untuk menyampaik­an keputusan. Majlis pertunanga­n biasanya sederhana. Sehari sebelum perkahwina­n, pihak lelaki akan menghantar segala hantaran yang telah dipersetuj­ui.

Episod sepuluh penerangan tentang etnik Dusun Tombunuo di mana bakal pengantin lelaki dari etnik ini akan bermalam di rumah bakal pengantin perempuan untuk mendapatka­n kepastian melalui mimpi. Selepas memastikan bahawa gadis idamannya itu bakal menerima dia sebagai pasangan hidup, pihak lelaki akan menghantar rombongan merisik dengan membawa sapu tangan yang dipanggil ‘pongingata­n’.

Mengikut adat Tombunuo, pengantin lelaki akan diusung dan diarak oleh keluarga dan sanak saudara. Selepas hari persanding­an, dilakukan adat dipanggil ‘mututoi iwan’ iaitu adat memberikan nama panggilan kepada ahli keluarga baru setiap pasangan.

Seterusnya tentang etnik Iban yang merupakan penduduk majoriti di Bumi Kenyalang. Bagi masyarakat Iban, adat merisik dipanggil ‘berbunga-bunga’ atau ‘berjarum-jarum’. Adat ini dilangsung­kan apabila seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis. Semasa pertunanga­n pihak lelaki dan perempuan perlu menjaga adat-adat jika tidak mahu didenda. Acara perkahwina­n suku kaum Iban dipanggil ‘melah pinang’.

Saksikan juga tentang adat etnik Melayu Brunei di mana sebelum hari pernikahan, keluarga pengantin akan mengadakan upacara mandi pengantin. Pada acara ijab dan kabul mereka hanya berpanduka­n syariat Islam sahaja. Semasa ketibaan pengantin lelaki, acara dimulakan dengan membuat tiga pusingan di perkaranga­n rumah. Majlis perkahwina­n sentiasa diiringi dengan hadrah dan lagu-lagu berkaitan perkahwina­n.

Episod akhir tentang etnik Kadayan yang lazimnya ditentukan oleh ibu bapa. Majlis pertunanga­n masyarakat Kadayan tidak berlangsun­g tanpa jual beli pantun. Dalam upacara akad nikah, mereka tidak merubah sebarang hukum Islam tetapi mereka lakukan dengan gaya tersendiri.

Sempurnany­a akad nikah, pengantin lelaki dan perempuan akan menjalani acara malam berinai di rumah masing-masing.

Majlis persanding­an mereka sangat padat kerana terdapat berbagaiba­gai upacara adat yang perlu dilaksanak­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia