Utusan Borneo (Sarawak)

Cubaan seludup keluar migran, petrol dan gas LPG gagal

-

Cubaan menyeludup keluar migran, petrol dan gas LPG melalui perairan negara menuju ke negara jiran berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin Sandakan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya menerusi operasi Op Pensura telah berjaya mengesan sebuah kapal nelayan yang menghala ke arah laut lepas di perairan Pulau Berhala kira-kira jam 10.40 malam Jumaat.

“Kapal nelayan itu telah berjaya dikesan dan ditahan oleh pasukan kami berdasarka­n maklumat yang disalurkan oleh Unit Risikan Marin (URM).

“Hasil pemeriksaa­n ke atas kapal nelayan itu mendapati terdapat 10 penumpang yang berumur antara 22 hingga 58 tahun dan tidak memiliki keterangan diri yang sah. Turut ditemukan, 11 tong gas LPG Petronas dan dua lagi jenama MyGaz serta 12 gelen tong berisi minyak petrol yang dipercayai untuk dibawa ke negara jiran tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Ia juga diakui sendiri oleh juragan iaitu seorang lelaki warga asing berumur 49 tahun. Kesemua barang itu disyaki untuk pasaran di negara jiran. Manakala, 10 penumpang yang ditemui mengakui ingin ke Pulau Tabawan Filipina tanpa melalui jalan yang diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas adalah sebuah kapal nelayan serta enjin jenama Nissan 180 hp dengan jumlah keseluruha­n rampasan dianggarka­n bernilai RM96,200.

Katanya, tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007(Pindaan 2010) iaitu kesalahan mengangkut migran yang diseludup dengan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Bagi Akta Kawalan dan Bekalan 1961, kesalahan di bawah Seksyen 31 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduaduany­a.

Sementara itu, kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga (JPDS) pula boleh menyebabka­n lesen dibatalkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia