Utusan Borneo (Sarawak)

Dana RM90 juta: Hentikan spekulasi, sesiapa yang terlibat akan dipanggil

-

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mahu menimbulka­n sebarang spekulasi sambil menegaskan siapa sahaja yang terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS.

Ketua Pesuruhjay­a SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, tugas SPRM adalah untuk mengenal pasti sama ada berlaku kemasukan duit ke akaun terbabit.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi individu tertentu akan dipanggil atau tidak… kerana rasuah ini bukan melibatkan spekulasi atau pun jangkaan. Ia lebih kepada fakta,” katanya kepada BERNAMA ketika ditemui pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 yang disampaika­n Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

SPRM sebelum ini mengesahka­n menerima laporan berhubung wang RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

Jumaat lepas, anggota Jawatankua­sa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di Ibu Pejabat SPRM Kelantan bagi memberi keterangan berhubung siasatan mengenai dana sebanyak RM90 juta daripada 1MDB itu.

Menurut sumber, siasatan akan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, artikel oleh Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta ‘dipercayai’ dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia