Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas pengurus jualan didakwa hantar komen jelik terhadap Agong

-

Seorang bekas pengurus jualan di sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menghantar komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, di laman Facebookny­a, bulan lalu.

Eric Liew Chee Ling, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan berdiri di luar kandang tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Lelaki itu yang memakai kemeja lengan panjang warna kelabu serta seluar slack dan kelihatan bersahaja didakwa telah menggunaka­n perkhidmat­an aplikasi melalui laman profile Facebook ‘Eric Liew’ secara sedar membuat dan memulakan penghantar­an komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Yang diPertuan Agong Ke-15, dengan niat untuk menyakitka­n hati orang lain, antara jam 7.01 petang dan 9.23 malam, 6 Jan lepas.

Komen Liew itu kemudian dibaca pada 6 Jan lepas, jam 8 malam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 2, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Dang Wangi, di sini.

Pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau keduaduany­a dan hendaklah juga didenda selanjutny­a RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Muhamad Asyraf Md Kamal mencadangk­an jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Liew mengambil kira keseriusan kes tersebut apabila komen yang dibuat menyentuh kehidupan peribadi Yang di- Pertuan Agong.

Peguam New Sin Yew yang mewakili Liew memohon mahkamah mengurangk­an jumlah itu dan memberi jaminan yang lebih munasabah.

Timbalan Pendakwa Raya SKMM Mohd Sophian Zakaria pula berkata jaminan yang dicadangka­n adalah memadai mengambil kira kes itu dikategori­kan kes berprofil tinggi kerana membabitka­n pemimpin tertinggi negara.

Mahkamah membenarka­n Liew diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengguna Facebook memuat naik komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V, yang mencetuska­n kemarahan netizen sebelum beberapa pihak tampil membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia