Utusan Borneo (Sarawak)

Adib berada dalam van EMRS ketika jentera undur: Saksi

-

Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim diberitahu, Allahyarha­m berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmat­an Kecemasan (EMRS) ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) berundur apabila diserang sekumpulan orang awam.

Pegawai ‘medic’ yang juga pemandu van EMRS, Ahmad Shahrill Othman berkata ketika FRT berkenaan berundur, ia (FRT) seolah-olah menolak kenderaan yang dipandunya.

Beliau berkata ketika itu, Muhammad Adib yang juga anggota EMRS berada di sebelahnya dan kedua-dua mereka masih berkomunik­asi.

“FRT itu macam menolak kenderaan EMRS saya. Saya cakap ‘lajunya si Hazim’ (pemandu FRT) . Dia (Muhamad Adib) tidak jawab.

“Dia ( Muhamad Adib) tercengang dan tangan kanannya pegang papan pemuka hadapan van manakala tangan kirinya diletakkan di pintu van,” katanya ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah yang juga pegawai pengendali inkues itu.

Saksi ketiga itu berkata demikian pada hari pertama prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini semalam.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Bala Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan d tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Allahyarha­m menghembus­kan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Sementara itu, pemandu FRT dari BBP Subang Jaya Md Elliza Mohd Noor ketika menyambung keterangan pada prosiding sebelah petang berkata, beliau bertindak mengundur jenteranya sejauh 80 meter ketika diserang perusuh.

“Ketika berundur, ada dua kereta di belakang termasuk sebuah teksi jenis Proton Exora dan satu lagi kereta yang tidak dikenal pasti,” katanya.

Saksi kedua itu pada suatu ketika kelihatan sebak semasa melihat dan menyelak dokumen serta gambar Muhamad Adib yang ditunjukka­n kepadanya.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung hari ini dengan pihak terlibat dalam inkues melawat lokasi kejadian rusuhan — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia