Utusan Borneo (Sarawak)

Guna wang sekolah tangani masalah tikus

-

Tidak tahan dengan masalah tikus yang semakin menjadi-jadi, pihak pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Thiruvallu­var di sini, dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) sekolah itu, terpaksa berbelanja lebih untuk mengawal kehadiran makhluk perosak tersebut.

Masalah kehadiran haiwan yang tidak diundang itu di sekolah berkenaan, yang terletak di tengah Pekan Teluk Intan, telah berlaku sejak sekian lama namun situasinya kini semakin kronik.

Kehadiran tikus-tikus itu dibimbangi boleh mengancam kesihatan pelajar dan haiwan itu boleh dilihat dengan mudah berkeliara­n di kawasan sekolah itu tidak kira siang atau malam.

Masalah itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri A. Sivanesan yang datang untuk melihat sendiri masalah tikus di sekolah yang telah berusia 75 tahun itu.

Guru Besarnya V. Sarasvathi berkata pihaknya telah membelanja­kan sejumlah wang untuk membeli perangkap tikus bagi menangani masalah itu dan beliau percaya tikus-tikus itu datang dari medan selera yang terletak berhampira­n.

Untuk menangani masalah itu, pihak sekolah terpaksa membeli perangkap dan racun tikus manakala pihak Jabatan Kesihatan Hilir Perak telah mengambil maklum akan masalah itu dan telah melakukan pemeriksaa­n selain memberi racun tikus, katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan exco itu hari ini.

Pengerusi PIBG J. Thavakumar berkata masalah tikus itu semakin menjadi-jadi sejak kedai makan itu dibuka kirakira 20 tahun dulu.

“Walaupun pengusaha gerai makanan itu telah menutup bahagian belakang kedainya dengan atap zink, masalah tikus tetap tidak dapat ditangani ekoran keadaan kedai yang kotor.

“Biarpun pelbagai inisiatif telah kita buat, masalah tikus masih berlanjuta­n namun adalah sedikit terkawal,” katanya.

Jelas beliau pihaknya khuatir walaupun pihak sekolah mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan kawasan itu bebas daripada ancaman tikus, ia tetap akan mengancam kebersihan dan kesihatan pelajar kerana sekolah itu mempunyai kantin.

Sementara itu, Sivanesan dalam sidang medianya berkata pihaknya telah mengambil tindakan ke atas premis penjaja itu dan percaya masalah haiwan perosak berkenaan datangnya dari persekitar­an tidak bersih berhampira­n sekolah itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia