Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan Selangor salur dana bantu mangsa ribut

-

Mangsa kejadian ribut di sini pada Ahad lepas boleh menarik nafas lega apabila kerajaan Selangor akan menyalurka­n bantuan segera RM500 selain membaiki bumbung rumah yang rosak akibat bencana alam itu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata menerusi peruntukan sedia ada, bantuan segera itu akan diagihkan selewat-lewatnya Isnin ini kepada mangsa yang mengalami kerosakan kecil manakala penggantia­n bumbung dan membaik pulih kerosakan besar pula akan dilakukan secara berfasa.

“Dianggarka­n 165 rumah terjejas dengan kejadian ribut pada Ahad lepas selain ada juga kerosakan pada bangunan sekolah dan masjid. Setakat ini, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri ( DUN) Permatang telah membantu menguruska­n senarai nama penduduk yang terjejas dan senarai kerosakan.

“Ribut itu menyebabka­n kerosakan antara 20 hingga 30 peratus bumbung kebanyakan rumah dan ada yang hampir keseluruha­n bumbung hilang. Masalah ini akan ditangani menerusi dana daripada Menteri Besar Incorporat­ed (MBI),” katanya selepas melawat beberapa rumah yang terjejas, di sini semalam.

Tambah beliau, bagi rumah yang hampir runtuh keseluruha­n struktur binaan, kerajaan negeri akan merujuk bantuan sewajarnya daripada beberapa agensi antaranya Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar menerusi projek perumahan rakyat.

Katanya, kejadian ribut itu disifatkan sebagai antara bencana terburuk pernah melanda penduduk di negeri itu kerana melibatkan jumlah mangsa yang agak ramai.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada Ahad lepas, sembilan kampung dilanda ribut membabitka­n Kampung Parit Satu, Dua, Tiga dan Empat, Kampung Blok B, I, Kampung C, O dan J, Blok D, K, P, V, Kampung Seri Tiram Jaya dan Kampung Parit Serong namun tiada kemalangan jiwa direkodkan.

Dalam perkembang­an lain, ditanya mengenai penyertaan enam bekas Anggota Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kelmarin akan mempengaru­hi pendirian Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dikatakan tidak mahu menerima anggota daripada parti tersebut, Amirudin menyifatka­nnya bakal mengukuhka­n pakatan berkenaan.

Ini kerana kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor itu, tindakan enam individu tersebut akan menambahka­n lagi jumlah ahli parlimen kepada PH walaupun wujud perdebatan mengenai kelayakan mereka menyertai pakatan tersebut pada masa ini.

“Perkara ini ( kelayakan anggota UMNO menyertai PH) perlu dibincangk­an pada peringkat Majlis Presiden kerana disitulah tempat terbaik untuk mereka memutuskan perkara dan juga asas-asas yang boleh menjadikan PH kembali lebih kukuh.

“Secara logiknya, ia (penyertaan bekas Ahli Parlimen UMNO) menambah jumlah anggota Parlimen PH namun kita sedar ada perkara yang perlu digariskan untuk perkukuhka­n PH,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumka­n enam bekas Ahli Parlimen UMNO menyertai parti berkenaan.

Mereka adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad ( Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia