Utusan Borneo (Sarawak)

Maritim Malaysia sahkan bot nelayan tempatan ditahan Indonesia di perairan Malaysia

-

Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia ( Maritim Malaysia) memaklumka­n sebuah bot nelayan tempatan ditahan pihak penguasa Indonesia semalam ketika masih berada dalam perairan Malaysia.

Penahanan bot nelayan tempatan PKFB 1689 yang berasal dari Pantai Remis, Perak itu melibatkan empat pekerja iaitu seorang warga Thailand dan tiga warga Kemboja.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata kejadian itu merupakan tangkapan yang keempat membabitka­n bot nelayan tempatan oleh pihak penguasa Indonesia di dalam perairan Malaysia sepanjang bulan Februari ini (2019).

“Kejadian ini dilihat sebagai satu penceroboh­an oleh pihak berkuasa asing ke dalam perairan Malaysia dan ia boleh mencetuska­n sensitivit­i terhadap kedaulatan maritim negara,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, pada kira-kira jam 10.38 pagi semalam Pusat Operasi Maritim Malaysia menerima aduan daripada pemilik sebuah bot nelayan tempatan mengenai kehadiran kapal penguasa Indonesia pada posisi kira-kira 55.4 batu nautika dari barat Pulau Talang, Perak, perairan Malaysia.

Sejurus itu pada kira-kira 10.45 pagi, kapal Maritim Malaysia iaitu KM Gagah telah ditugaskan ke lokasi kejadian.

Pada masa yang sama, katanya Maritim Malaysia telah menjejaki pergerakan bot PKFB 1689 menerusi pancaran kecemasan dari sistem identifika­si automatik bot dan mendapati ia masih berada dalam perairan Malaysia.

“Melalui sistem pengesanan ini, didapati pada jam 10.38 pagi bot nelayan PKFB 1689 telah dikejar, dan kemudianny­a pada posisi 58.8 batu nautika barat laut Pulau Talang, Perak, bot itu telah ditarik memasuki perairan Indonesia pada jam lebih kurang 1.29 tengah hari menghala ke Medan, Indonesia,” katanya.

Menurutnya, bot nelayan tersebut yang dipasang dengan peralatan pengesanan raptor menunjukka­n pada kira-kira 10.30 pagi, tekong bot PKFB 1689 telah menekan butang kecemasan sebanyak empat kali iaitu pada jam 10.30 pagi, jam 10.31 pagi, 10.32 pagi dan jam 11.10 pagi.

Mohd Zubil berkata Maritim Malaysia telah menghubung­i pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dan Konsular Indonesia di Pulau Pinang bagi mendapatka­n maklumat mengenai insiden itu.

Menurutnya, sebelum ini pada 2 Feb (2019), dua bot tempatan iaitu KHF 1980 dan KHF 2598 telah ditahan penguasa Indonesia di kedudukan kira- kira 68.6 batu nautika barat daya Pulau Pinang dan 4.4 batu nautika dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif.

“Berdasarka­n rekod pergerakan bot tersebut, sistem AIS ( Automatic Identifica­tion System) menunjukka­n bot itu telah ditahan dalam perairan Malaysia,” katanya.

Kedua-dua bot itu kini dilaporkan berada di pangkalan PSDKP, Lampulo, Acheh, Indonesia, katanya.

Pada 3 Februari pula, sebuah bot PKFB 1593 telah ditahan oleh TNI AL-KRI Lemadang 632 di posisi kirakira 57.1 batu nautika dari Tg Piandang, Kerian, Perak.

Menurutnya, maklumat yang diterima daripada pemilik bot menyatakan bot terbabit berada di Belawan, Indonesia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia