Utusan Borneo (Sarawak)

Syarikat Malaysia rancang labur dalam kilang perabot di Myanmar

-

Sebuah syarikat Malaysia merancang untuk melabur dalam pembinaan sebuah kilang perabot yang diperbuat daripada pokok akasia bunga putih (acacia mangium) di wilayah Bago, Myanmar, lapor agensi berita China Xinhua memetik akhbar rasmi Global New Light of Myanmar pada Rabu.

Projek syarikat Malaysia yang tidak dikenal pasti itu dijangka membeli sejumlah 3,000 tan bahan mentah setahun daripada Persatuan Pengeluar Acacia Mangium dan satu kajian kebolehlak­sanaan sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada bahan mentah secukupnya boleh dibekalkan dari ladang di seluruh negara itu, menurut laporan akhbar tersebut.

Untuk menghasilk­an produk akhir, Myanmar memerlukan bekalan acacia mangium sebanyak 6,075 hektar setahun, kata U Myo Ko Ko Thein, pengerusi persatuan itu.

Menurut beliau, terdapat lebih 12,144 hektar ladang acacia mangium di Myanmar.

Acacia mangium boleh digunakan sebagai papan lantai, kertas bersaiz A4 dan barangan peribadi lain.

Menurut angka rasmi, lebih AS$1.8 bilion pelaburan daripada 85 perusahaan asing telah memasuki wilayah Bago, Myanmar sehingga Disember 2018.

Sektor pembuatan mendahului senarai dengan sejumlah AS1.4 bilion pelaburan asing diikuti perusahaan petroleum dalam pesisir dan sektor pertanian di wilayah itu.

Sementara itu, wilayah tersebut turut menarik pelaburan domestik berjumlah 946 bilion kyat (AS$610.3 juta) setakat ini.

Undang-undang pelaburan baharu Myanmar, yang diperkenal pada 1 Ogos 2018, membolehka­n pelabur asing memiliki sehingga 35 peratus saham dalam syarikat tempatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia