Utusan Borneo (Sarawak)

Cadangan mansuh hukuman mati akan diputus kabinet sebelum sidang parlimen

-

Cadangan untuk membawa pemansuhan hukuman mati ke parlimen akan diputuskan oleh jemaah kabinet sebelum parlimen bersidang bulan hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata keputusan itu akan mengambil kira pendapat semua pihak yang berkenaan.

“Keputusan muktamad akan dibuat sebelum parlimen bersidang. Kita ambil berat pandangan yang telah diberikan oleh semua pihak.

“Kita juga kena memahami perasaan daripada pihak anggota keluarga mangsa yang telah pun kehilangan insan kesayangan jadi ini kena ambil kira,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan kompleks mahkamah yang baharu di Kota Iskandar, dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini cadangan pemansuhan hukuman mati untuk semua akta.

“Kita kena tunggu keputusan daripada jemaah menteri sebab ini juga merupakan satu manifesto Pakatan Harapan untuk memansuhka­n hukuman mati mandatori daripada semua akta jadi inilah hasrat kerajaan baharu ini,” kata Liew.

Menurut beliau, pelbagai maklum balas telah diterima dan diambil kira termasuk daripada anggota keluarga mangsa yang dibunuh, banduan akhir, anggota keluarga banduan serta badan bukan kerajaan.

Parlimen dijangka bersidang 11 Mac ini.

Pada awal Oktober lepas jemaah menteri memutuskan untuk memansuhka­n hukuman mati mandatori bag semua kesalahan.

Susulan keputusan itu semua pelaksanaa­n hukuman mati telah ditangguhk­an sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Selain itu, kabinet turut mempertimb­angkan untuk mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandator dimansuhka­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia