Utusan Borneo (Sarawak)

Peguam Napoli umum Hamsik lengkapkan perpindaha­n ke Dalian Yifang

-

Kapten Napoli Marek Hamsik sudah memeterai perpindaha­nnya ke kelab Liga Super China, Dalian Yifang, kata peguam kelab Serie A itu kepada radio Itali kelmarin.

“Hamsik adalah pemain Dalian bermula jam 2030 ( 1930 GMT) malam ini,” kata peguam Napoli, Mattia Grassani, kepada Radio Kiss Kiss.

Pemain Slovakia itu, yang kini berada di bandar di mana dia dilahirkan, Banska Bystrica, akan tiba di China pada hari ini ( Jumaat).

Napoli pada mulanya menggantun­g perjanjian disebabkan oleh satu masalah dengan “kaedah pembayaran” yang dipersetuj­ui dengan kelab China itu yang dibimbing oleh jurulatih Jerman, Bernd Schuster.

Akhbar Gazzetta Dello Sport melaporkan kelmarin bahawa di bawah kontrak yang dirunding semula, yuran 20 juta euro (RM96 juta) akan dibayar dalam dua ansuran – lima juta euro ( RM24 juta) dibayar segera manakala 15 juta lagi ( RM72 juta) sudah dijamin dalam tempoh setahun.

Pemilik Napoli, Aurelio De Laurentiis, juga menuntut jaminan bank tambahan daripada kelab China itu.

Hamsik, 31, yang mewakili Slovakia sebanyak 111 kali, bermain untuk Napoli sejak 2007.

Dia menjaringk­an 121 gol dalam 520 penampilan dan pada musim lepas memintas legenda Diego Maradona ( 115) sebagai penjaring terbanyak kelab.

Kontrak selama tiga tahun itu dilaporkan memberi gaji tahunan sebanyak sembilan juta euro ( RM43.2 juta) kepadanya – tiga kali ganda apa yang dia dapat di Itali.

Hamsik membantu kelab itu memenangi dua kejuaraan Coppa Italia, pada 2012 dan 2014, selain Supercoppa Italiana 2014.

Napoli – yang kali terakhir memenangi Serie A pada 1990 – menduduki tempat kedua dalam Serie A, 11 mata di belakang pendahulu Juventus. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia