Utusan Borneo (Sarawak)

Berjudi depan skrin besar taktik baharu sindiket perjudian

-

Ibarat menonton bola sepak, namun sebenarnya ia merupakan taktik terbaharu sindiket perjudian yang menawarkan pelbagai jenis pertaruhan di skrin layar besar kepada kaki judi.

Mendedahka­n perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata modus operandi terbaharu itu dikesan menerusi Ops Limau yang dijalankan di seluruh negara bermula awal bulan ini sehingga semalam.

“Di Ipoh, Perak, polis mengesan sindiket perjudian yang beroperasi di premis rumah kedai dua tingkat tanpa sebarang lesen perniagaan, di bahagian bawah mereka membuka aktiviti perjudian tradisiona­l seperti permainan bola pingpong ( judi bola golek).

“Di tingkat atas pula, mereka menggunaka­n projektor untuk aktiviti perjudian simulator dengan projektor disambung kepada satu ‘motherboar­d’ (papan induk) yang diambil daripada mesin simulator perjudian,” katanya pada sidang media di Bukit Aman semalam.

Beliau berkata kaki judi hanya perlu menggunaka­n alat kawalan jauh untuk melakukan pertaruhan di hadapan skrin layar besar.

“Antara permainan pertaruhan yang popular adalah wukong, tembak ikan dan permainan slot maharaja,” katanya.

Mengulas mengenai Ops Limau, beliau berkata pihaknya menahan 1,035 warga tempatan melibatkan 965 lelaki dan 70 wanita berusia 20 hingga 68 tahun serta merampas wang berjumlah RM650,869.

“Sebanyak 176 serbuan dilakukan dalam Ops Limau tahun ini berbanding 70 serbuan pada tahun lepas dan kejayaan ini hasil maklumat orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Rohaimi berkata pihaknya bekerjasam­a dengan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membendung aktiviti judi dalam talian di negara ini.

“Kegiatan judi dalam talian ini agak sukar dibendung namun pihak polis akan menyekat laman web judi yang dikesan dengan bantuan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia