Utusan Borneo (Sarawak)

PRK Semenyih: Tumpuan kepada pengundi atas pagar

-

Jentera Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih akan memberi lebih tumpuan kepada pengundi atas pagar dan golongan yang belum membuat keputusan dalam usahanya mengekalka­n kerusi berkenaan.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari berkata, ini kerana mereka merupakan kelompok pengundi yang akan menjadi penentu kemenangan dalam PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang dijadual berlangsun­g 2 Mac ini.

“Tiada guna kita kerah tenaga kerja dan tumpuan kita kepada golongan pengundi dan penyokong tegar yang telah membuat keputusan, keputusan mereka memang tidak boleh diubah.

“Saya yakin dengan ketokohan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kejayaan kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat, pengundi atas pagar dan yang belum membuat keputusan ini akan memilih calon PH,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas hasil kajian Institut Darul Ehsan yang antara lain menyatakan pengundi atas pagar dilihat menjadi penentu kalah menang PRK Semenyih yang diadakan berikutan kematian penyandang­nya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 11 Januari lalu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia