Utusan Borneo (Sarawak)

Alat muzik dan sepanduk perlu kebenaran SAFA

-

Penonton dan kelab penyokong dilarang membawa masuk alat-alat muzik seperti gong, gendang dan kompang ke Stadium Likas semasa perlawanan Liga Malaysia musim ini kecuali mendapat kebenaran Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Pengerusi Jawatankua­sa Keselamata­n SAFA, SAC Jauteh Dikun berkata, larangan tersebut akan mula berkuat kuasa pada perlawanan Liga Premier antara Sabah mementang Terengganu FC 11 (TFC 11), Sabtu ini (hari ini).

Selain alat muzik, katanya, sepanduk berunsur provokasi, mercun, suar, payung, botol dan tin minuman juga dilarang dibawa masuk ke dalam stadium.

“Kami akan memperketa­t kawalan keselamata­n bagi menguatkua­sakan peraturan ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurusan SAFA, di sini kelmarin.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, berkata peraturan itu adalah bagi memastikan kemeriahan menyaksika­n perlawanan tuan rumah, Sabah tidak dicemari dengan insiden tidak diingini.

“Kalau mahu menggunaka­n alat muzik atau ada sepanduk yang mahu dipaparkan, perlu kebenaran daripada SAFA terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu, peralatan audio visual untuk tujuan membuat siaran langsung perlawanan juga dilarang dibawa masuk ke dalam stadium kecuali mereka diberi hak penyiaran oleh badan pentadbir liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia