Utusan Borneo (Sarawak)

Perang bunuh lebih 100,000 bayi setahun: Save the Children

-

Sekurang-kurangnya 100,000 bayi meninggal dunia setiap tahun disebabkan oleh konflik bersenjata dan kesannya, akibat kebuluran sehingga tidak diberikan bantuan, lapor Save the Children Internatio­nal pada Jumaat.

Di 10 negara paling teruk terjejas, anggaran konservati­f seramai 550,000 bayi meninggal dunia akibat pertempura­n antara 2013 dan 2017.

Mereka terkorban disebabkan oleh peperangan dan kesannya, selain kelaparan, kerosakan pada hospital dan infrastruk­tur, kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan dan sanitasi serta tidak diberikan bantuan.

Ia menyatakan kanak-kanak berdepan dengan ancaman akan dibunuh atau dicacatkan, direkrut oleh kumpulan bersenjata, diculik atau menjadi mangsa keganasan seksual.

“Hampir satu di kalangan lima kanak-kanak telah tinggal di kawasan yang mengalami kesan konflik – lebih dari mana-mana masa sejak dua dekad yang lepas,” kata CEO badan kebajikan itu Helle Thorning-Schmidt dalam satu kenyataan.

“Jumlah kanak-kanak yang terbunuh atau dicacatkan telah lebih tiga kali ganda, dan kami sedang melihat peningkata­n yang mengejutka­n dalam penggunaan bantuan sebagai senjata peperangan,” kata beliau ketika mengeluark­an laporan pada Persidanga­n Keselamata­n Munich.

Save the Children menyatakan satu kajian yang ia perolehi dari Institut Penyelidik­an Kedamaian Oslo telah mendapati bahawa 420 juta kanak-kanak telah tinggal di kawasan yang terjejas akibat konflik pada 2017.

Ini mewakili 18 peratus daripada semua kanak-kanak di seluruh dunia dan meningkat sebanyak 30 juta dari tahun sebelumnya.

Negara yang paling teruk dilanda perang adalah Afghanista­n, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Iraq, Mali, Nigeria, Somalia, Sudan Selatan, Syria dan Yaman.

Jumlah keseluruha­n kematian akibat kesan secara tidak langsung sepanjang tempoh lima tahun meningkat kepada 870,000 apabila semua kanakkanak di bawah usia lima tahun turut diambil kira, kata badan kebajikan tersebut.

Ia turut mengeluark­an satu senarai cadangan bagi membantu melindungi kanakkanak, daripada beberapa langkah seperti menetapkan usia minimum 18 tahun untuk pengambila­n rekrut tentera sehingga mengelak penggunaan bahan letupan di kawasan penempatan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia