Utusan Borneo (Sarawak)

Petani didenda RM50,000 balasan beri rasuah

-

Mahkamah Sesyen di sini semalam, memerintah­kan seorang petani membayar denda RM50,000 selepas mengaku salah terhadap tuduhan pilihan memberi rasuah kepada pegawai kerajaan apabila dia didapati menceroboh hutan simpan di Cameron Highlands, empat tahun lepas.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib juga memerintah­kan Teong Tong Lai, 34, dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaska­n denda itu.

Teong didakwa memberi rasuah RM10,000 kepada Penolong Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamata­n Negara (MKN) Sanifah Yusof pada jam 9.32 malam, 13 Mei 2015 di Coffee House Hotel Heritage, Cameron Highlands.

Suapan yang terdiri daripada 200 keping wang tunai RM50 itu didakwa sebagai dorongan supaya tiada tindakan diambil ke atas kebunnya di Hutan Simpan Terla (A) Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands yang menyalahi Akta Perhutanan 1984.

Bagi kesalahan itu, Teong didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntu­kan hukuman penjara atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n fakta kes, perbuatan tertuduh membuka kebun secara haram terbongkar pada pelaksanaa­n Op Gading dan tertuduh menawarkan wang itu agar diberikan masa supaya kebunnya tidak dirobohkan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin.

Peguam Mohamad Hamizey Mat Taib yang mewakili Teong, merayu mahkamah meringanka­n hukuman atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan dua anak dengan hasil sayur yang dipasarkan ke Pasar Borong Selayang, Selangor. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia