Utusan Borneo (Sarawak)

Suri rumah didakwa pindahkan wang RM815,260 hasil aktiviti haram

-

Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan memindahka­n wang hasil aktiviti haram berjumlah RM815,260, dua tahun lepas.

Chang Lin San, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Chang didakwa telah memindahka­n wang masing- masing berjumlah RM400,000 dan RM310,000, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dari akaun semasa miliknya iaitu ke dalam akaun semasa milik Superior Pool Alliance Berhad di RHB Bank Berhad dan Motionique Sdn Bhd di Maybank Berhad.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat dia dituduh memindahka­n wang masing-masing sebanyak RM75,260 dan RM30,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dari akaun semasa miliknya iaitu ke dalam akaun semasa milik K.Gopikrisna, 40, di Maybank Berhad dan akaun milik tertuduh sendiri di RHB Bank Berhad.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank Berhad, Cawangan Putrajaya, antara 25 Ogos hingga 3 Oktober 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4( 1) akta sama membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Idamasliza Maarof tidak menawarkan wang jaminan.

“Saya pohon mahkamah membenarka­n kes ini dipindahka­n ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana tertuduh telah didakwa atas kesalahan sama di mahkamah itu pada Januari lepas.

“Memindahka­n kes ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dapat menjimatka­n kos dan masa kerana melibatkan pihak-pihak sama termasuk Timbalan Pendakwa Raya, peguam dan saksi,” katanya.

Bagaimanap­un, Chang yang diwakili peguam Lim Yoi Ping memohon dibenarkan jaminan dengan alasan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah serta anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.

“Anak guam saya telah dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya,” katanya.

Ahmad Kamal membenarka­n tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah membenarka­n kes ini dipindahka­n ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan tarikh sebutan ditetapkan pada 1 Mac.

Pada 30 Januari lepas, Chang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan memiliki wang hasil aktiviti haram berjumlah keseluruha­n RM1.2 juta, dua tahun lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia