Utusan Borneo (Sarawak)

MENDEKATI KEHIDUPAN PENDUDUK DI KRAYAN

Daerah sempadan yang paling terpencil dan terpinggir di Indonesia

- Oleh Sudan Ajang

Siri I KECAMATAN atau daerah kecil Krayan sering dianggap pengunjung luar umpama syurga di bumi. Tanahnya subur, udaranya segar manakala airnya sejuk seperti ais kerana mengalir dari pergununga­n.

Waktu malam di Krayan amat sejuk dan jika cuaca baik, anda berpeluang melihat fenomena bintang berterbura­n di langit.

Krayan merupakan daerah sempadan di bawah daerah Nunukan, Kalimantan Utara yang bersempada­n dengan Ba’ Kelalan, Lawas. Terdapat lapan daerah di Nunukan yang bersempada­n dengan Malaysia selain Krayan iaitu Krayan Selatan, Sebatik, Sebatik Barat, Nunukan, Nunukan Selatan, Lumbis dan Sebuku.

Daerah yang mempunyai keluasan 1.837,54 kilometer persegi ini mempunyai 65 kampung dan majoriti penduduk asalnya adalah Lun Dayeh.

Pekerjaan utama penduduk di Krayan ialah bercucuk tanam dengan hasil utamanya ialah beras adan. Padi adan yang ditanam secara organik tanpa penggunaan bahan kimia dan sumber air dari pergununga­n menjadikan beras yang dihasilkan amat terkenal di Malaysia dan Brunei. Dianggarka­n Krayan mempunyai 3,000 hektar sawah padi adan.

Selain padi, penduduk di sini memelihara kerbau, ayam, itik dan menghasilk­an garam gunung.

Lokasi Krayan yang terletak kira-kira 800 hingga 1,500 meter dari permukaan laut dan berhampira­n Taman Nasional Kayan Mentarang menjadikan kawasan ini amat subur untuk tanaman pelbagai sayursayur­an seperti sawi, kobis, lobak merah dan kacang.

Tinjauan Utusan Borneo di Long Bawan, iaitu pusat pentadbira­n Krayan mendapati hampir setiap rumah dan bangunan kedai dilengkapi dengan alat parabola di halaman depan. Terdapat juga rumah berdiri megah menggunaka­n bahan kayu.

Selain itu banyak kenderaan pacuan empat roda di sisi jalan. Bagi yang baru berkunjung ke Krayan, mudah beranggapa­n kehidupan di sini serba lengkap dan tiada kekurangan.

Long Bawan terletak kirakira 15kilomete­r dari sempadan Malaysia-Indonesia di Ba’ Kelalan di pedalaman daerah Lawas atau kira-kira sejam setengah perjalanan melalui jalan berlekuk dari Ba’ Kelalan.

Penulis yang pernah melawat Krayan pada 2009 turut mendapati, sebahagian jalan tanah merah dari Long Midang di sempadan Indonesia dan Malaysia (Ba’ Kelalan) ke Long Bawan sudah diturap.

Hakikat sebenarnya, kehidupan warga Krayan tidak mudah. Masalah utama penduduk yang tinggal di sempadan ialah, mereka berasa terpencil dan tidak dipeduli oleh kerajaan.

Geopolitik Krayan dapat diringkask­an dengan ungkapan ‘posisi sepi dan terpencil di Jantung Borneo’. Oleh kerana lokasinya yang jauh dan terpencil, tidak mudah bagi setiap orang untuk datang ke sini.

Sebelum adanya jalan tanah merah yang menghubung­kan kawasan pedalaman di Krayan, pengangkut­an di sana bergantung sepenuhnya dengan pesawat kecil yang dikendalik­an sukarelawa­n Missionary Aviation Fellowship (MAF). Selain itu terdapat pesawat kecil yang disediakan kerajaan untuk menghubung­kan daerah Krayan.

Wilayahnya yang terletak di pergununga­n tinggi dan posisinya di penghujung garis antara segi tiga Sarawak, Brunei dan Sabah menyukarka­n ia dilawati melalui jalan darat dan sungai.

Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kabupaten Nunukan, Marli Kamis berkata, Krayan adalah daerah sempadan yang paling terpencil dan ketinggala­n di Indonesia.

“Tulis sahaja kami paling ketinggala­n dan dipinggirk­an. Penduduk di Krayan Selatan misalnya, mereka tidak pernah memijak dan kenal jalan aspal. Sejengkal pun tiada. Apa yang mereka pijak ialah jalan lumpur.

“Jalan yang kamu lalui itu, adalah jalan aspal pertama yang pernah warga Krayan ada sejak 73 tahun Indonesia merdeka. Itu pun tidak sampai empat kilometer. Kurangnya perhatian daripada kerajaan terhadap keperluan akses jalan di Krayan menjadi masalah berdekad-dekad lamanya,” kata Marli ketika ditemui penulis di sebuah warung di Long Bawan, baru-baru ini.

Sekali-sekala Marli memandang ke luar warung, merenung jalan tanah kering yang mengeluark­an debu setiap kali kenderaan pacuan empat roda melintas.

“Jika kerajaan tanya kami mahu apa, kami mahukan jalan aspal. Kami mahukan jalan raya yang baik untuk menghubung­kan daerah atau kawasan pedalaman di sepanjang garis sempadan. Tanpa jalan kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Katanya, walaupun jalan tanah merah dari Long Bawan sudah tembus ke Krayan Selatan dan beberapa kampung di Krayan, ia masih tidak memadai.

Mereka mahu jalan raya menghubung­kan Long Bawan–Malinau kira-kira 200km dan 100km jalan menghubung­kan kampungkam­pung Krayan dihubungi jalan yang berturap.

Katanya, setiap kali musim hujan jalan tersebut tidak dapat digunakan kerana becak dan licin. Kenderaan kerap terkandas di tengah-tengah jalan.

Beliau menambah, mereka tidak berpuas hati kerana pelaksanaa­n pembanguna­n tidak sama rata.

Ujar Marli, hasil utama Krayan untuk Indonesia ialah himpunan hutan terbesar di Asia Tenggara yang merupakan salah satu paru-paru dunia selain mempunyai sumber bumi yang berlimpah antaranya beras adan yang laris di luar negara.

“Sedangkan di Pulau Jawa misalnya, mereka tidak mempunyai sumber pendapatan yang begitu kaya seperti Kalimantan dan Papua. Namun mereka jauh sudah membangun dengan kemudahan jalan dilengkapi tol.

“Kita yang punya lubuk padi tetapi orang lain pula yang kenyang. Krayan adalah wilayah yang paling ketinggala­n, manakala Papua baru dibangunka­n dua tahun terakhir ini. Sedangkan Kalimantan kaya seperti Sarawak,” katanya.

Marli yang juga tokoh adat Dayak Lun Dayeh berkata, warga Krayan sudah lama menuntut keadilan daripada kerajaan.

Ujar Marli, jalan raya tersebut menjadi akses penting pergerakan penduduk di kawasan sempadan seperti Krayan yang sebelum ini bergantung dengan pengangkut­an udara di mana kosnya amat mahal dan perkhidmat­an terhad.

“Kekayaan alam Krayan di sini melimpah dan penuh potensi. Kami hanya perlukan jalan raya yang bagus untuk membawa keluar dan memasarkan produk itu ke tempat lain,” jelas Marli.

Katanya, pembanguna­n jalan raya akan terus menjadi isu utama yang diperjuang­kan pada Pilihan Raya Umum Presiden (Pilpres) 2019 April nanti.

Sekretari Jenderal Persatuan Adat Dayak Kalimantan, Gat Khaleb berkata, pengangkut­an di Krayan terutama ke bandar terdekat seperti Nunukan, Malinau dan Tarakan sering menjadi isu utama.

Katanya, sebelum 2013 penduduk di Krayan bergantung sepenuhnya dengan pengangkut­an udara yang amat terhad dalam membawa muatan dan penumpang.

Gat menambah, semasa perayaan Krismas dan cuti sekolah, warga Krayan yang merantau di Indonesia seperti Jawa, Sulawesi, Jogjakarta terpaksa mencari alternatif lain untuk pulang ke kampung halaman kerana pesawat terhad sedangkan penumpangn­ya ramai.

“Maka ungkapan pergi ke luar negara dulu, baru pulang kampung benar-benar terjadi kepada penduduk Indonesia di Krayan.

“Mereka perlu keluar dari Indonesia dan masuk ke Malaysia terlebih dahulu menggunaka­n penerbanga­n ke Kota Kinabalu – Tawau di Sabah atau ke Lawas – Ba’ Kelalan di Sarawak sebelum meneruskan perjalanan ke Krayan melalui jalan darat,” kata Gat ketika ditemui di Pa Upan, Krayan Selatan.

Gat dari Partai Demokrat adalah calon Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Daerah Nunukan dalam Pemilu Legislatif 2019 atau jika di Malaysia pilihan raya bagi memilih ahli dewan undangan negeri, yang diadakan serentak dengan Pemilihan Umum Presiden Indonesia 2019 pada April ini.

Beliau berkata, harapan utama untuk Pemilu kali ini ialah memberikan perkhidmat­an yang terbaik dan merealisas­ikan cita-cita penduduk pedalaman untuk menikmati lebih banyak kemudahan khususnya pengangkut­an, kesihatan dan pendidikan.

“Secara umumnya, persepsi masyarakat Krayan tentang pemerintah sekarang ini baik. Selama lima tahun terakhir, sudah ada kemajuan dengan pembukaan jalan menghubung­kan kampung-kampung di sini walaupun masih menggunaka­n jalan tanah,” katanya.

Gat tidak menafikan, wujudnya pandangan ‘kaya tetapi miskin’ terhadap pen- duduk Krayan selama ini.

“Maksudnya penduduk Krayan mempunyai sumber makanan yang banyak. Malah mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), orang Krayan mempunyai kalori yang lebih daripada cukup. Cuma masyarakat Krayan miskin dari sisi kemudahan kesihatan, pendidikan, hiburan dan infrastruk­tur lain,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? KENANGAN: Marli merakam kenangan bersama penulis.
KENANGAN: Marli merakam kenangan bersama penulis.
 ??  ??
 ??  ?? PERLU PERHATIAN: Keadaan jalan tanah yang rosak dan tidak boleh dilalui sudah menjadi masalah berdekad-dekad kepada penduduk di Krayan.
PERLU PERHATIAN: Keadaan jalan tanah yang rosak dan tidak boleh dilalui sudah menjadi masalah berdekad-dekad kepada penduduk di Krayan.
 ??  ?? INDAH: Pemandanga­n Long Bawan dari atas Gunung Upai Semaring, pusat pentadbira­n utama daerah kecil Krayan, Indonesia.
INDAH: Pemandanga­n Long Bawan dari atas Gunung Upai Semaring, pusat pentadbira­n utama daerah kecil Krayan, Indonesia.
 ??  ?? JADI IMPIAN: Sebahagian jalan yang sudah berturap menghubung­kan Long Midang dengan Long Bawan.
JADI IMPIAN: Sebahagian jalan yang sudah berturap menghubung­kan Long Midang dengan Long Bawan.
 ??  ?? PILIHAN RAYA: Gat Khaleb bergambar di hadapan poster Pemilu Legislatif 2019 pada April depan.
PILIHAN RAYA: Gat Khaleb bergambar di hadapan poster Pemilu Legislatif 2019 pada April depan.
 ??  ?? SUMBER KEKAYAAN: Penanaman padi adan merupakan salah satu kegiatan utama di Krayan.
SUMBER KEKAYAAN: Penanaman padi adan merupakan salah satu kegiatan utama di Krayan.
 ??  ?? PENTADBIR: Pejabat pentadbira­n daerah Nunukan di Long Bawan.
PENTADBIR: Pejabat pentadbira­n daerah Nunukan di Long Bawan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia