Utusan Borneo (Sarawak)

APMM selamatkan bot pelancong alami kebocoran

-

Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamat­kan seorang jurumudi dan tiga kru sebuah bot pelancong yang mengalami masalah kebocoran lantai dalam kejadian lebih kurang 20 batu nautika dari Tanjung Gemok, Rompin pagi semalam

Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang (Operasi), Kapten Maritim V. Pannir Selvan berkata, Pusat Operasi Maritim Pahang sebelum itu menerima panggilan MERS 999 lebih kurang jam 3 pagi daripada kru bot berkenaan yang memohon bantuan berikutan masalah lantai bot bocor di bahagian enjin.

“Bot tersebut belayar dari Kuala Terengganu menuju ke Pulau Langkawi bersama jurumudi Azmi Adnan, 42, sebelum mengalami masalah berkenaan.

“Sebaik dimaklumka­n sebuah aset APMM yang sedang beroperasi telah diarahkan ke lokasi untuk memberi bantuan sewajarnya.

“Semasa ditemui bot berkenaan bergerak dalam keadaan perlahan lebih kurang dua knot dan dua anggota APMM berserta pam mudah alih kemudian telah menaiki bot tersebut bagi membantu kerja-kerja mengeluark­an air seterusnya mengiringi bot tersebut ke Jeti Tanjung Gemok,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Menurutnya, kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan bot selamat tiba di perairan Tanjung Gemok pada jam 2 petang semalam sebelum memasuki Jeti Tanjung Gemok sejam kemudian berikutan keadaan air yang surut.

“Aset- aset APMM sentiasa bersedia untuk memberi bantuan tidak mengira waktu sama ada siang atau malam sekiranya ada berlaku keskes kecemasan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia