Utusan Borneo (Sarawak)

Pengedar dadah warga China ditangkap di Thailand

-

Seorang pengedar dadah warganegar­a China, yang dikehendak­i pihak berkuasa negaranya menyangka dia mampu lolos daripada tangkapan dengan melarikan diri ke Thailand dan meneruskan kegiatan haramnya yang sangat menguntung­kan itu di sini, namun sangkaanny­a itu ternyata meleset.

Lelaki berusia 38 tahun itu yang cuba memperbaha­rui visa pelajarnya ditangkap di Surin, sebuah wilayah di Timur Laut Thailand, oleh polis Thai hujung bulan lepas.

Ketua Setiausaha Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (NOCB) Niyom Termsrisuk berkata, lelaki itu yang juga suspek utama dikehendak­i pihak berkuasa China, menjadikan Thailand sebagai pusat transitnya untuk mengekspor­t dadah jenis heroin dari kawasan Segi Tiga Emas, rantau yang terkenal dengan penghasila­n dadah dan diseludupk­annya ke Hainan, China.

“Sindiket ini dikendalik­an oleh warganegar­a China dan mereka sangat aktif di Thailand. Siasatan mendapati kira-kira 20 kilogram heroin diseludupk­an ke China setiap kali penghantar­an,” katanya pada sidang media di sini.

Niyom berkata, pihak berkuasa Thai mendapat maklumat daripada pihak berkuasa China ekoran penangkapa­n 24 suspek bersama 11.7 kilogram heroin dan 190 gram hablur Metamfetam­ine pada Julai, tahun lepas.

“Siasatan menunjukka­n suspek mendapat bekalan dadah mereka daripada warganegar­a China tersebut dan rakannya di Thailand.

“Oleh itu, Biro Kawalan Narkotik China telah meminta bantuan kami untuk mengesan kedua-dua suspek. Akhirnya, kami berjaya menangkap seorang daripada mereka,” tambah beliau. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia