Utusan Borneo (Sarawak)

Pengurus kewangan didenda langgar motosikal polis sedang bertugas

-

Seorang pengurus kewangan syarikat swasta didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menggunaka­n kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis dengan cara melanggar motosikal yang dinaikinya semasa anggota itu menjalanka­n tugas.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhka­n hukuman itu ke atas Chay Jee How, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapny­a.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Lelaki itu didakwa telah menyerang atau menggunaka­n kekerasan jenayah terhadap Lans Koperal Mohamad Hyder Umer, 31, dengan cara melanggar motosikal yang dinaiki mangsa menggunaka­n sebuah kereta yang dipandu tertuduh.

Dia melakukan perbuatan itu di Jalan Pahang menghala ke Bulatan Pahang di sini, pada 2 pagi, 14 Jan lepas dan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hajar Hamzah memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, bagaimanap­un tertuduh yang diwakili peguam Izzat Amir Saharudin merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta menyesal dengan perbuatann­ya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia