Utusan Borneo (Sarawak)

Penjara ada SOP ketat kawal kemasukan bahan terlarang

-

Semua penjara di negara ini mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ketat dalam mengawal pergerakan keluar masuk pegawai dan pelawat bagi memastikan tiada bahan terlarang diseludup masuk ke kawasan penjara.

Ketua Setiausaha Kementeria­n Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata peraturan itu perlu dipatuhi oleh semua pegawai dan petugas penjara sebelum dibenarkan masuk ke penjara.

Malah banduan yang baharu pun perlu melalui prosedur pemeriksaa­n badan yang ketat sebelum dimasukkan ke sel penjara mereka, katanya sambil menegaskan bahawa pihak penjara dan polis sentiasa memberi perhatian serius perkara itu.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Hari Terbuka Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Klinik Cure & Care di sini, semalam, Alwi berkata pihak kementeria­n sentiasa meneliti prosedur dan peraturan sedia ada dan sekiranya perlu, ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kewujudan sindiket yang membekalka­n dadah kepada tahanan di penjara Simpang Renggam, Johor.

Pada 14 Januari lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata polis menahan lima lelaki yang disyaki anggota sindiket mengedar dadah kepada banduan di Penjara Simpang Renggam, Johor sejak setahun lepas.

Mohamad Fuzi berkata, polis percaya sindiket berkenaan menggunaka­n ‘orang dalam’ untuk melakukan penyeludup­an dadah kepada banduan di penjara itu.

Ditanya adakah pembubaran Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) tahun lepas menjejaska­n operasi banteras sindiket dadah, Alwi berkata: “Pembubaran STING tidak menjejaska­n operasi malah banyak serbuan terhadap pengedar dan makmal dadah dilakukan oleh pihak narkotik”.

Terdahulu itu, beliau berkata golongan muda perlu melibatkan diri dengan program yang bermanfaat bagi mengelak terjebak dalam penyalahgu­naan dadah.

“Pihak sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan komuniti perlu bersama-sama atasi masalah ini dengan mewujudkan lebih banyak program kesedaran mengenai bahaya dadah,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TERTARIK: Alwi (kanan) bersama Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah sewaktu melawat ruang pameran anti dadah selepas merasmikan Hari Terbuka AADK sempena Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2019 di pusat pemulihan penagih dadah ‘Cure and Care’ Sungai Besi dekat Kuala Lumpur, semalam.
— Gambar Bernama TERTARIK: Alwi (kanan) bersama Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah sewaktu melawat ruang pameran anti dadah selepas merasmikan Hari Terbuka AADK sempena Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2019 di pusat pemulihan penagih dadah ‘Cure and Care’ Sungai Besi dekat Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia