Utusan Borneo (Sarawak)

Buku ‘Outshine’ khusus untuk beri kekuatan dan harapan baharu buat pesakit kanser

-

Buku bertajuk ‘Outshine’ yang memaparkan kisah 14 pesakit kanser yang terselamat daripada natijah akhir penyakit itu, akan memberi kekuatan dan harapan baharu kepada pesakit kanser dalam negara dalam perjuangan melawan penyakit itu sekali gus dapat menjalani kehidupan harian seperti insan biasa.

Pengurus Projek ‘Outshine’ Dr Rozilawati Ahmad berkata, buku yang dijangka akan diterbitka­n pada bulan Mei ini, merupakan hasil daripada satu pameran fotografi bertemakan kanser dengan tajuk ‘Outshine’ yang berlangsun­g selama sebulan bermula 15 Jan lepas di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

“Gambar-gambar yang diambil bekas jurugambar European Pressphoto Agency ( EPA) di Malaysia Ahmad Yusni Mohammad Said untuk pameran itu akan dibukukan sebagai salah satu alat atau ‘interventi­on tools’ untuk psiko- pendidikan pesakit kanser.

“Pameran itu merupakan anjuran bersama Kumpulan Cancer Wellness (CanWell) Fakulti Sains Kesihatan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Ahmad Yusni serta disokong oleh Cancer Care (NGO),” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa menghadiri ‘Malaysia-China Internatio­nal Cancer Symposium’ di Guangzhou, China baru-baru ini.

Simposium itu merupakan anjuran bersama St Stamford Modern Cancer Hospital Guangzhou dan Persatuan Kumpulan Perubatan Malaysia-China dengan Dr Rozilawati juga merupakan antara panel jemputan simposium itu yang turut berkongsi perjalanan serta usaha projek ‘Outshine’ itu.

Simposium yang berlangsun­g pada Khamis dan Jumaat lalu itu disertai pengamal kesihatan profesiona­l termasuk doktor dari Malaysia, dan mereka berpeluang melihat sendiri operasi hospital itu serta prosedur rawatan dengan teknik invasif minimal yang dilakukan terhadap pesakit.

Dr Rozilawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan dari UKM berkata ‘survivor’ kanser yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan sosioekono­mi itu ingin berkongsi semangat dan kekuatan untuk pesakit lain menerusi buku berkenaan.

Beliau berkata buku itu mengetenga­hkan dua siri berbeza iaitu siri gelap dan siri penuh warna-warni dalam perjalanan pesakit kanser secara realiti yang jarang orang ramai dapat lihat dengan dekat.

“Iaitu dalam erti kata lain buku ini menceritka­n kisah benar daripada pesakit kepada pesakit untuk berkongsi kekuatan dan semangat,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia