Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu tidak sedap hati sekolah dibuka selepas ditutup akibat pencemaran

-

Perasaan bimbang dan tidak sedap hati seorang ibu apabila sekolah dua anaknya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dekat Pasir Gudang, di sini, yang dibenarkan beroperasi semalam, menjadi kenyataan apabila sekolah berkenaan diarahkan tutup sekali lagi, tengah hari semalam.

Saina Yasta, 35, berkata dia mengesyaki sesuatu perkara telah berlaku sebaik menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang guru yang meminta dia mengambil anaknya, Ayu Atiqah Adam, 17, dan Ayu Safiah Adam,15, di sekolah tengah hari semalam.

“Saya sedih sangat cuma kena kuat. Bila dapat tahu jadi lagi insiden macam ini, saya terkilan. Lagi pula seorang anak saya tidak berapa sihat dan saya syak ia berpunca daripada pencemaran itu,” katanya ketika ditemui Bernama di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, di sini.

Dalam kejadian itu, lapan pelajar dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) berikutan mempunyai simptom sesak nafas, loya dan muntah dengan lebih 10 orang dirawat di sekolah. Udara di dewan berkenaan dipercayai tercemar berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, seperti yang berlaku pada Khamis lepas.

Menurut Saina, anaknya Ayu Safiah tidak mengalami sebarang simptom seperti pening, muntah-muntah atau sesak nafas namun Ayu Atiqah menerima rawatan di dewan berkenaan kerana sesak nafas sebelum dibenarkan pulang.

Tambahnya, dia turut bimbang akan kesihatan keluargany­a memandangk­an mereka tinggal berdekatan dengan Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa kimia.

“Saya harap agar semua pihak termasuk Jabatan Kesihatan dan pihak sekolah cuba fikirkan jalan penyelesai­an yang terbaik kerana ia melibatkan nyawa pelajar,” katanya.

Sementara itu, Ayu Atiqah berkata dia mengalami sesak nafas dan pening sebaik tiba d sekolah pagi semalam.

“Ada satu bahagian bangunan sekolah bau kimia sangat kuat, malahan ia lagi kuat berbanding empat hari lepas (7 Mac).

“Beberapa kawan saya d dalam kelas juga mengalam pening-pening dan ada yang pengsan kerana bau kimia itu,” katanya.

Sementara itu, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih Mardziah Ibrahim berkata pada kejadian kira- kira jam 10 pagi itu pihak sekolah mendapati terdapat kesan muntah di sebuah tangga sebelum mengarahka­n murid yang berasa pening segera masuk ke dalam sebuah bilik.

“Ada murid yang pening muntah dan sakit perut, sebaik kenal pasti, kita terus panggil ambulans. Malahan ada juga guru yang rasa pening kerana pencemaran kimia itu,” katanya.

Kebanyakan murid yang terlibat berumur 10 hingga 12 tahun, tambahnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor Azman Adnan berkata keduadua sekolah berkenaan ditutup buat sementara waktu sehingga dimaklumka­n kelak.

“Keputusan akan mengambil kira status kualiti udara dan syor mesyuarat Jawatankua­sa Bantuan Bencana Daerah Johor Bahru,” kata beliau dalam kenyataan ringkas — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia