Utusan Borneo (Sarawak)

JPJ Johor tumpaskan kegiatan kereta sapu

-

Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) Johor berjaya menyekat kegiatan kereta sapu yang dijalankan sekumpulan warga asing dalam satu operasi khas di Sungai Rengit, Pengerang, dekat sini, kelmarin.

Pengarahny­a, Razali Wagiman berkata operasi pada jam 12.45 tengah hari itu berjaya menyita 11 kenderaan jenis Proton Wira, Proton Waja, Proton Saga dan Proton Iswara yang dipandu 11 warga Nepal dan Bangladesh.

Menurut beliau, modus operasi kegiatan ini ialah menawarkan perkhidmat­an pengangkut­an kepada warga asing dari kawasan pembinaan ke sekitar Sungai Rengit dengan tambang perjalanan dibayar secara bulanan.

“Serbuan dilakukan selepas JPJ menerima aduan daripada orang awam termasuk pemandu teksi. Difahamkan warga asing yang menggunaka­nnya membayar dengan harga sekitar RM150 sehingga RM200 secara bulanan bagi perkhidmat­an ditawarkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor di sini, semalam.

Razali berkata seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 60 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan turut ditahan dalam operas itu.

“Siasatan awal mendapat kereta-kereta ini dibeli oleh warga asing berkenaan dengan harga sekitar RM2,000 hingga RM3,500 (sebuah) daripada pihak ketiga yang mempunyai masalah pembayaran ansuran bulanan kereta daripada bank,” katanya yang menambah pihaknya kini turut menyiasat tempoh kegiatan itu, dijalankan.

Kesemua kenderaan kin sudah dibawa ke kompleks JPJ negeri untuk disita dan suspek pula telah diberikan saman setelah diambil keterangan.

“Tindakan saman yang dikenakan ke atas mereka tertakluk di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 iaitu kerana tiada lesen memandu dan Seksyen 23(2) akta sama kerana menyalahgu­nakan lesen kenderaan bermotor.

“Jika sabit kesalahan, pemilik dan pemandu boleh dikenakan denda RM300 sehingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia