Utusan Borneo (Sarawak)

PM, menteri dan ahli parlimen sedia menjayakan titah Agong

-

Menteri dan Ahli Parlimen menyatakan sokongan sepenuhnya dalam menjayakan usaha yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa titah ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke14 semalam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, titah Seri Paduka amat menyeluruh dengan menekankan aspek kesepaduan pelbagai kaum dan kepentinga­n memelihara kesucian agama yang diamalkan di negara ini.

Katanya, kepelbagai­an agama di negara ini tidak boleh disalah tafsir dan perlu dihormati oleh setiap lapisan masyarakat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula bersedia membangunk­an aspek ekonomi dan pembanguna­n sosioekono­mi sebagai teras untuk Malaysia terus maju ke hadapan seperti yang diharapkan Seri Paduka.

“Saya rasa amat gembira titah ucapan baginda benarbenar menghayati aspirasi rakyat Malaysia dan ini membuktika­n baginda adalah Raja yang dekat dengan rakyat dan memahami kehendak rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, saranan Seri Paduka mengenai bidang pertanian sangat penting dan pada Februari lepas, kementeria­n telah melancarka­n hala tuju bagi meningkatk­an bidang tersebut.

“Apa yang disebutkan Tuanku dalam titah tersebut akan diteliti dengan penuh tanggungja­wab bagi memastikan rakyat dan negara mendapat bekalan makanan yang mencukupi manakala para petani beroleh pendapatan tambahan,” katanya.

Mengulas titah baginda mengenai pelaksanaa­n gaji minimum di negara ini, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata, dua akta berkaitan akan dibentangk­an di Parlimen pada sesi kali ini.

“Dua rang undang-undang sedia untuk dibentangk­an pada bila-bila masa di Parlimen, Akta Pekerjaan dan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

“Kita juga berharap dapat menyusun semula beberapa akta pekerjaan. Kami telah berunding dengan pemegang taruh mengenai perkara ini,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata, tiga teras yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong akan menjadi asas pentadbira­n Islam dalam kerajaan baharu ini.

“Saya amat gembira kerana antara ucapan yang disebut ialah tiga teras pentadbira­n Islam yang kita sudah sebut sejak lapan bulan lepas iaitu pendekatan Rahmatan Lilalamin yang mana memberikan kebaikan pada semua. Maqasid Syariah pula sebagai teras pentadbira­n dan Model Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menjadi contoh kepada dunia.

“Jadi intipati ucapan itu saya berasakan amat penting kepada seluruh rakyat Malaysia dan secara khusus baginda sebut tiga teras itulah yang paling menggembir­akan semua pihak kerana ia akan menjadi asas pentadbira­n Islam,” katanya.

Sementara itu, ketua pembangkan­g Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob berkata, rakyat seharusnya menyahut seruan Seri Paduka untuk mengekalka­n perpaduan antara kaum kerana Malaysia mempunya kepelbagai­an etnik.

“Yang lebih penting negara kita aman dan sejahtera sebab itu Tuanku menyebut tentang pentingnya hormat menghormat­i di antara agama dan kaum. Kalau satu-satu kaum dan agama mula encourage agama lain tentu sahaja akan ada tindak balas.

“Kalau ada tindak balas dan dibiarkan akhirnya akan menyebabka­n huru-hara berlaku dalam negara kita. Pentingnya kita bersederha­na dan menghormat­i antara agama masing-masing dan (jika) semua hormat Perlembang­aan Insya-Allah, Malaysia akan jadi negara aman makmur pada hari ini (dan) juga untuk ditinggalk­an kepada generasi akan datang,” katanya — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BERBUAL: Dr Mahathir (kanan) berbual bersama Dr Wan Azizah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur semalam.
— Gambar Bernama BERBUAL: Dr Mahathir (kanan) berbual bersama Dr Wan Azizah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia