Utusan Borneo (Sarawak)

Dovizioso atasi Marquez, ungguli aksi pembuka tirai MotoGP di Qatar

-

Andrea Dovizioso memenangi perlumbaan pembuka tirai musim baharu MotoGP di Qatar, kali kedua berturut-turut dengan menangani cabaran dari juara bertahan, Marc Marquez Ahad lepas.

Kedua-dua pelumba saling bertukar kedudukan di pusingan terakhir tetapi Dovizioso, yang mendahului hampir sepanjang perlumbaan untuk pasukan Ducati, mengesahka­n kemenangan dengan kelebihan 0.023 saat berbanding Marquez, yang menunggang jentera Honda.

Ia memastikan ulangan perlumbaan tahun lepas, apabila satu lagi penamat menarik dengan Dovizioso juga menewaskan Marquez.

Pelumba dari Britain, Cal Crutchlow, juga menunggang Honda, menduduki tempat ketiga.

“Saya berasa sangat gembira kerana segala-galanya sebelum hujung minggu ini adalah sangat teruk,” kata Dovizioso.

“Ia menarik untuk memulakan perlumbaan seperti ini ketika bersaing dengan seorang juara.”

Pelumba dari Itali itu tiba di Doha dengan kebimbanga­n tahap kepantasan jenteranya tetapi berjaya memulakan perlumbaan di petak kedua selepas sesi ujian masa kelayakan pada hari Sabtu.

Beliau mendahului sekumpulan lapan pelumba yang menguasai perlumbaan tetapi diekori rapat oleh Marquez sepanjang masa.

Marquez, yang bermula di petak ketiga walaupun terbabas dua kali pada hujung minggu, menggunaka­n satu selekoh pada pusingan terakhir untuk mendahului perlumbaan tetapi ia hanya untuk seketika apabila Dovizioso kembali merampas kedudukan pertama.

“Ia adalah sama seperti tahun lepas, saya mencuba pada akhir pusingan,” kata Marquez. “Tetapi saya gembira dengan 20 mata ini (tempat kedua).

“Ia menarik untuk kembali semula berlumba dalam MotoGP, apa lagi naik atas podium,” kata Crutchlow, yang menambah beliau bimbang tidak dapat berjalan lagi selepas satu kemalangan di Australia Oktober tahun lepas.

Alex Rins dari Sepanyol, menduduki tempat keempat untuk jentera Suzuki sementara bintang veteran dari Itali, Valentino Rossi, di tempat kelima dengan jentera Yamaha.

Maverik Vinales, juga menunggang Yamaha dan bermula di petak pertama, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Pada perlumbaan Moto3, pelumba remaja Jepun, Kaito Toba, menjadi pelumba pertama dari Jepun yang memenangi perlumbaan dalam kelas Moto3.

Lorenzo Dalla Porta dari Itali menduduki tempat ketiga diikuti Aron Canet dari Sepanyol.

Dalam kelas Moto2, Lorenzo Baldassarr­i melepasi garisan penamat di tempat pertama diikuti Thomas Luthi dan Marcel Schrotter — AFP

 ??  ?? DOVIZIOSO
DOVIZIOSO

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia