Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas presiden Korea Selatan disepina ke perbicaraa­n kes fitnah bertulis dalam memoir

-

Bekas Presiden Korea Selatan Chun Doo Hwan telah disepina untuk hadir ke mahkamah serantau pada Isnin bagi perbicaraa­n kes libel berkaitan memoir beliau, yang didakwa memfitnah mangsa tindakan kerasnya semasa kebangkita­n prodemokra­si dalam tahun 1980.

Berpakaian sut gelap dan bertali leher kuning, Chun muncul dari pintu pagar depan kediamanny­a di barat Seoul pada kira-kira jam 8.30 pagi bersama- sama isteri, bekas wanita pertama Lee Soon Ja, yang akan menemani beliau.

Mereka kemudian memasuki sebuah kenderaan menuju ke barat daya bandar Gwangju, kira-kira 330 kilometer, tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada sekumpulan pemberita yang menunggu di luar.

Perbicaraa­n itu dijadualka­n pada jam 2.30 petang.

Chun, 88, yang pernah memimpin kerajaan autoritari­an dari 1980 hingga 1988, telah didakwa pada Mei tahun lepas atas pertuduhan bahawa memoir beliau memfitnah mangsa kekerasan berdarah kerajaanny­a semasa revolusi prodemokra­si Gwangju.

Beliau didakwa melakukan libel terhadap mendiang aktivis paderi Cho Chul Hyun, yang memberi keterangan bahawa dia telah menyaksika­n pihak tentera melepaskan tembakan ke arah orang ramai dari helikopter semasa berlaku insiden penindasan berdarah terhadap tunjuk perasaan bagi membantah pemerintah­an Chun.

Chun telah menafikan dakwaan itu dalam memoirnya yang diterbitka­n pada awal 2017.

Beliau menggelar Cho sebagai “Syaitan yang memakai topeng” dan mendakwa kenyataan paderi itu adalah satu pembohonga­n semata-mata.

Mahkamah Daerah Gwangju telah mengeluark­an sepina terhadap Chun selepas bekas pemimpin itu berulang kali mengelak hadir ke perbicaraa­n tersebut atas alasan keadaan kesihatan yang tidak meng- izinkan, termasuk mendakwa beliau menghidap penyakit Alzheimer.

Peguamnya berkata bekas presiden itu tidak berniat untuk mengelak hadir ke prosiding mahkamah.

Pendakwaan telah memulakan satu penyiasata­n selepas seorang saudara Cho mengemukak­an aduan.

Jika didapati bersalah, Chun berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda 5 juta won (AS$4,400).

Bekas jeneral tentera darat itu telah melakukan rampasan kuasa pada 1979 dan memerintah negara tersebut sehingga awal 1988.

Beliau telah dijatuhi hukuman mati pada 1996 bagi kesalahan menderhaka dan rasuah.

Bagaimanap­un, hukuman itu dikurangka­n kepada penjara seumur hidup oleh mahkamah tertinggi dan beliau telah dibebaskan pada Disember 1997 selepas mendapat pengampuna­n presiden. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia