Utusan Borneo (Sarawak)

MA63: Ketua Menteri yakin usul pindaan perlembaga­an disokong Ahli Parlimen

-

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin usul meminda perlembaga­an dalam memastikan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalik­an, akan disokong majoriti dua pertiga Ahli Parlimen terutama pihak kerajaan agar hak Sabah sebagai rakan kongsi Semenanjun­g dapat diberikan.

Menurut beliau usul tersebut dijangka dibentang dalam sidang Dewan Rakyat kali ini bagi memastikan MA63 yang masih gagal dilaksanak­an selama ini akhirnya dapat direalisas­ikan.

Katanya, beberapa perkara khusus termasuk permintaan Sabah tentang pelaksanaa­n MA63 telah dibincangk­an dalam mesyuarat tertutup bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu, namun perkara itu tidak boleh didedahkan ketika ini.

“Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Liew Vui Keong) telah pun maklumkan bahawa usul ini akan dibawa ke Parlimen jadi sudah tiba masanya untuk dilaksanak­an MA63.

“Saya sendiri dan semua anggota Parlimen yakin akan menyokong pindaan itu kerana ini adalah perjanjian asal pembentuka­n Malaysia yang kita perlu laksanakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berada di Kuala Lumpur semalam bagi menghadiri pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau menegaskan perjanjian itu telah lama dimeterai tetapi tidak dilaksanak­an, dan ini adalah masa terbaik untuk membuktika­n kerajaan peka kepada permintaan rakya semasa negara ditubuhkan.

“Suruhanjay­a Cobbold yang mewakili suara orang Sabah Sarawak dan Tanah Melayu ketika itu telah dibentuk dan mencapai satu persetujua­n iaitu MA63 maka jika kerajaan mahu menyentuh hati rakyat inilah masanya.

“Ini adalah perjanjian yang telah dimeterai sejak zaman Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan kita sebagai generasi baharu perlu melaksanak­an apa yang telah dipersetuj­ui,” kata Mohd Shafie. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia