Utusan Borneo (Sarawak)

Hilang penglihata­n, ibu meninggal, Mohammad Hanafi bangkit semula KUALA LUMPUR:

-

Setelah kematian ibunya hanya sebulan selepas penglihata­nnya hilang akibat penyakit glaukoma, Mohammad Hanafi Mohd Nordin berjaya bangkit semula sehingga memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Namun, Mohammad Hanafi yang kini berumur 21 tahun mengakui dua ujian berat yang melandanya pada tahun 2015 itu membuatkan beliau tertekan dan tidak dapat mengambil SPM yang sepatutnya diduduki pada tahun tersebut.

“Pada waktu itu saya memang tertekan kerana bila saya hilang penglihata­n arwah ibulah yang memberi semangat untuk saya bangkit. Tetapi sebulan selepas itu dia meninggal sebab jangkitan paru-paru.

“Jadi saya hilang arah. Selama dua tahun saya hanya duduk di rumah tidak buat apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Pengumuman Rasmi Keputusan Peperiksaa­n SPM 2018, di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur, di sini semalam.

Mohammad Hanafi berkata pada 2017 beliau menyambung semula persekolah­an di Sekolah Menengah (SMK) Pendidikan Khas Setapak atas dorongan dan semangat yang diberikan oleh ayahnya Mohd Nordin Chek, 50, dan saudara-mara.

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu berkata beliau bercadang untuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan kerana mahu menjadi seorang guru.

“Saya hendak jadi cikgu untuk mendidik anak bangsa. Saya juga mahu membalas jasa ayah yang berusaha keras membesarka­n saya dan adik- adik dengan pendapatan sebagai pesawah yang tidak seberapa,” katanya.

Seorang lagi pelajar kelainan upaya Nor Shafiq Daniel Nor Azmi, 19, juga tekad bangkit semula selepas hilang penglihata­n akibat masalah kornea dan retina, sehingga berjaya memperoleh 7A dalam SPM 2018.

Pelajar SMK Pendidikan Khas Setapak itu berkata akibat hilang penglihata­n ketika berumur 11 tahun, beliau terpaksa menangguhk­an persekolah­an selama setahun setengah untuk menguasai tulisan Braille.

“Pada mulanya saya sedih kerana tiba-tiba sahaja penglihata­n hilang. Namun setelah dipindahka­n ke sekolah pendidikan khas, saya dapati ramai lagi rakanrakan yang senasib dengan saya. Malah ada yang penglihata­n mereka lebih teruk daripada saya.

“Jadi itu yang membuatkan saya nekad untuk belajar bersungguh- sungguh dan tidak menganggap hilang penglihata­n sebagai penghalang untuk berjaya,” katanya.

Nor Shafiq Daniel berkata beliau hanya mempunyai penglihata­n sebanyak 20 peratus pada mata sebelah kiri manakala mata kanan buta sepenuhnya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu bercita-cita menjadi pakar motivasi kerana ingin memberi semangat dan dorongan kepada mereka yang senasib dengannya untuk berjaya dalam hidup. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia