Utusan Borneo (Sarawak)

AS umum rehatkan semua pesawat model Boeing 737 MAX 8 dan 9 WASHINGTON:

-

Amerika Syarikat ( AS) merehatkan semua pesawat jenis Boeing 737 Max 8 dan 9, kata Presiden Donald Trump pada Rabu, menjadikan ia negara besar terakhir yang mengambil langkah itu susulan dua nahas membabitka­n model tersebut dalam tempoh enam bulan kebelakang­an ini, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kesemua pesawat jenis itu direhatkan, berkuat kuasa serta-merta,” kata Trump pada sidang akhbar merujuk kepada variasi Boeing 737 Max.

“Keselamata­n rakyat Amerika menjadi keutamaan kita,” kata beliau.

Pentadbira­n Penerbanga­n Persekutua­n (FAA) menyusuli kenyataan Trump dengan mengeluark­an arahan untuk merehatkan sementara pesawat jenis Boeing 737 Max yang dikendali oleh syarikat penerbanga­n AS atau di wilayah AS.

FAA berkata “bukti baharu yang dikumpul di lokasi nahas dan dianalisis hari ini” telah membawa kepada keputusan itu.

“Arahan itu akan kekal sementara menunggu siasatan lanjut, termasuk pemeriksaa­n maklumat daripada perakam data pesawat dan perakam suara kokpit,” menurut kenyataan FAA.

Sebuah pesawat milik Ethiopian Airlines yang dalam perjalanan dari Addis Ababa ke Nairobi, Kenya terhempas pada Ahad, mengorbank­an kesemua 157 penumpang dan anak kapal.

Dalam satu insiden lain, sebuah pesawat milik Lion Air terhempas pada Oktober di Indonesia yang meragut 189 nyawa.

Kedua-dua pesawat adalah model Boeing 737 MAX 8 dan faktor persekitar­an yang menyelubun­gi kedua- dua tragedi amat serupa.

Pada peringkat ini, tidak jelas apa yang menyebabka­n kedua- dua nahas berlaku meskipun media AS melaporkan bahawa lima aduan telah difailkan terhadap pesawat Boeing 737 MAX oleh juruterban­g dalam pangkalan data persekutua­n beberapa bulan sebelum nahas pada Ahad berlaku, yang menyaksika­n seorang juruterban­g menyifatka­n manual penerbanga­n pesawat itu “tidak memadai dan hampir tidak lengkap”.

Boeing juga berkata ia telah membangunk­an perisian kawalan penerbanga­n yang ditambah baik untuk model 737 MAX pasca nahas Lion Air.

Nahas Ethiopian Airlines berlaku sebelum penambahba­ikan itu selesai. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia