Utusan Borneo (Sarawak)

Tumpahan minyak menuju pantai Perancis selepas kapal kargo karam BREST:

-

Tumpahan minyak sedang menuju ke arah kawasan pantai Perancis pada Khamis selepas sebuah kapal kargo Itali karam di Lautan Atlantik ketika ia membawa 45 kontena “bahan berbahaya”, kata pihak berkuasa.

Lapisan minyak, sepanjang 10 kilometer dan seluas satu kilometer, boleh sampai di beberapa bahagian di wilayah barat daya negara dekat kota pelabuhan Bordeaux pada hujung minggu ini.

“Menurut ramalan kami, cebisan boleh sampai ke beberapa kawasan pantai di Nouvelle-Aquitaine pada Ahad atau Isnin kerana cuaca buruk, yang juga berisiko menjadikan operasi antipencem­aran lebih sukar,” kata Menteri Alam Sekitar Francois de Rugy pada Rabu.

Perancis akan mengerahka­n empat kapal untuk membantu menangani tumpahan minyak di laut dan akan bersiap sedia untuk operasi pembersiha­n di darat, ujarnya.

Kapal Grande America dalam perjalanan dari Hamburg di Jerman ke Casablanca di Maghribi ketika kebakaran berlaku lewat Ahad lepas.

Kesemua 27 orang dalam kapal itu dipindahka­n pada keesokan hari apabila kebakaran bertambah buruk, sebelum kapal tersebut karam kira-kira 300 kilometer ke barat bandar La Rochelle pada Selasa.

“Buat masa sekarang, risiko pencemaran yang boleh berlaku khususnya terdiri daripada 2,200 tan minyak bahan bakar berat di atas kapal,” kata Jean-Louis Lozier, selaku ketua lembaga maritim serantau, kepada pemberita di Brest di pantai Brittany, Perancis.

Lozier berkata pemilik kapal hibrid dari Itali itu, Grimaldi, telah menyatakan 365 kontena kapal berada di atas kapal, “yang mana 45 membawa bahan berbahaya”, selain kirakira 2,000 kenderaan.

Kebakaran dipercayai bermula di atas dek kereta sebelum ia menular ke sebuah kontena, tetapi puncanya belum diketahui, kata Lozier.

“Kira-kira 40 kontena jatuh ke dalam laut sebelum kapal tenggelam,” katanya. “Kebanyakan­nya rosak teruk disebabkan oleh api.”

Kandungan termasuk 100 tan asid hidroklori­k dan 70 tan asid sulfur.

Risiko pencemaran yang ditimbulka­n oleh kimia “bersifat sangat tempatan”, kata Lozier, yang menambah kebanyakan­nya pasti sudah terbakar dalam kebakaran. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia