HEMBUS NAFAS TERAKHIR SELEPAS LIMA JAM BERTARUNG NYAWA
KUCHING: Seorang lelaki menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa hampir lima jam ekoran kecederaan parah yang dialaminya akibat kemalangan jalan raya yang berlaku di Kilometer Satu Jalan Bau-Serikin awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Edmund Teo Kho Chiew, 41, berasal dari Kampung Sungai Pinang, Siniawan, Bau disahkan meninggal dunia sekitar jam 8.30 pagi semalam ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Bau.
Jelasnya, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan yang berlaku sekitar jam 3.20 pagi semalam di Kilometer Satu Jalan BauSerikin.
Tambah Naga, mangsa yang sedang memandu keretanya dikatakan dalam perjalanan dari Serikin menuju ke Bau sebelum melanggar kereta lain yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun berasal dari Kampung Baru Spit yang dalam perjalanan dari Bau ke Krokong.
“Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan kereta lain.
“Akibat pertembungan itu kereta yang dilanggar mangsa terus terbakar di tempat kejadian namun kedua-dua mereka sempat keluar dari kenderaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Dedah Naga lagi, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah iaitu tulang dagu retak dan mengalami pendarahan dalam kepala dan tidak sedarkan diri yang kemudiannya dibawa ke Hospital Bau.
“Sementara itu, pemandu sebuah lagi kereta yang terbakar itu pula mengalami luka di lutut kiri dan menerima enam jahitan selain terseliuh bahu kiri,” jelasnya.
Kata Naga, polis turut melawat tempat kejadian bagi mengambil rajah kasar, ukuran tempat kejadian dan membawa kenderaan terlibat ke Balai Trafik Bau untuk pemeriksaan PUSPAKOM.
Selain itu, menurutnya, kedua-dua sampel darah pemandu diambil untuk dianalisis di Jabatan Kimia Kuching.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran kereta akibat kemalangan.
“Kesan daripada kemalangan tersebut telah menyebabkan kereta Proton Persona terbakar keseluruhannya.
“Pemandu kenderaan tersebut terselamat dan telah diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan EMRS dan operasi ditamatkan jam 3.30 pagi,” ujarnya.