Utusan Borneo (Sarawak)

Gara-gara teruja tawaran pinjaman, jurujual kerugian RM3,350

-

MIRI: Gara-gara teruja dengan tawaran pinjaman wang daripada sebuah syarikat dikenali melalui Facebook, seorang jurujual di sini menanggung kerugian berjumlah RM3,350 selepas diperdaya sindiket terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superinten­den Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata mangsa, seorang wanita berusia 23 tahun mula tertarik dengan tawaran pinjaman itu pada 13 April lalu.

“Seterusnya mangsa menghubung­i seorang lelaki yang mengatakan dirinya wakil syarikat pemberi pinjaman wang itu melalui WhatsApp lalu memberitah­u berminat membuat pinjaman wang sejumlah RM15,000 daripada syarikat itu.

“Kemudian suspek mengatakan pinjaman dibuat mangsa boleh diluluskan dengan syarat mangsa perlu membuat beberapa bayaran terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Selain itu, mangsa turut diminta menghantar gambar kad pengenalan, slip gaji dan nombor akaun bank kepada suspek melalui WhatsApp.

Mustafa Kamal berkata, mangsa membuat pembayaran wang berjumlah RM3,350 ke akaun bank seperti diberikan suspek melalui tiga kali transaksi pada 14 hingga 19 April.

“Wang tersebut merupakan wang simpanan dan juga dari keluarga mangsa sendiri.

Bayaran dibuat adalah sebagai wang proses pinjaman dan untuk mengaktifk­an akaun.

“Mangsa merasakan ditipu setelah beberapa pembayaran dibuat, wang pinjaman diharapkan tidak diterima,” jelasnya.

Di samping itu, suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan kononnya untuk deposit cap jari dan bayaran pengimbas muka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia