Utusan Borneo (Sarawak)

Penyelia sebuah syarikat kerugian RM22,999 ditipu ‘Macau Scam’

-

BINTULU: Satu kes penipuan ‘Macau Scam’ di Bintulu mengakibat­kan seorang lelaki, 43, yang juga penyelia sebuah syarikat kerugian RM22,999 apabila ditipu suspek Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superinten­den Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa menerima panggilan daripada orang tidak dikenali mengatakan dirinya dari sebuah bank di bandar Puteri Puchong, Selangor mendakwa ada pihak menggunaka­n kad kredit Ambank mangsa di Johor Baharu.

“Talian kemudian disambung kepada Sarjan Alan Chong meminta mangsa membuat laporan polis melalui talian bagi memudahkan polis melakukan siasatan.

“Mangsa menuruti semua arahan Sarjan Alan sehingga suspek mengarah mangsa memindahka­n wang ke dalam satu akaun bank atas nama individu tidak dikenali kononnya untuk siasatan.

“Pada hari sama, mangsa memindahka­n wang RM22,999 ke dalam akaun bank diberikan suspek dan setelah memasukkan wang itu, Sarjan Alan mengarahka­n mangsa mengoyak resit bank tersebut dan mangsa dilarang memeriksa akaun sehingga Selasa, 23 April supaya tidak mengganggu siasatan. Wang dipindahka­n itu adalah wang simpanan mangsa,” katanya di sini semalam.

Begitupun, mangsa rasa curiga dengan panggilan telefon itu kemudian membuat semakan dengan bank dan diberitahu mangsa ditipu melalui panggilan telefon.

Mustafa menyeru masyarakat yang mempunyai kemusykila­n atau kemungkina­n ditipu menyalurka­n maklumat melalui WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) ke Infoline Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) di talian 013-2111222 atau layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di rmp. gov.my, ccid.rmp.gov.my, Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatka­n maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan.

“JSJK Sarawak menerima tiga kes penipuan melibatkan kerugian RM33,349 pada Jumaat dan Sabtu lalu walaupun kes-kes seperti itu sering diuar-uarkan kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, laporan kes penipuan itu melibatkan mangsa-mangsa berusia antara 20 hingga 43 tahun dengan jumlah kerugian tertinggi dicatatkan di Bintulu iaitu RM22,999.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia