Utusan Borneo (Sarawak)

Penempatan semula Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak perlu dirunding

-

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing menyifatka­n penempatan semula Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu sebagai tidak berperlemb­agaan.

Ini kerana menurut Masing, penempatan semula pejabat ini perlu dirunding dengan kedua-dua Ketua Menteri dari Sabah dan Sarawak sebelum keputusan dibuat.

“Merujuk Perkara 121 (4) Perlembaga­an Persekutua­n, dalam menentukan di mana Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ditempatka­n, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri yang akan berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi.

“Di sini nampaknya, Sarawak telah kehilangan haknya untuk membincang­kan isu ini seperti mandatori yang diperlukan oleh Perlembaga­an Persekutua­n,” katanya menerusi WhatsApp semalam.

Sehubungan itu, Masing mencadangk­an supaya Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH) Sarawak berdiri bersama dan memaklumka­n Putrajaya bahawa ia adalah tidak berperlemb­agaan untuk memindahka­n Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu tanpa berbincang dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak.

Surat edaran bertarikh 19 April 2019 yang ditandatan­gani Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutua­n Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menyebut Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkena­nkan penempatan semula Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu, Sabah.

Penempatan semula Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ini akan mula berkuat kuasa 1 Mei 2019.

Dalam pada itu peguam kanan, Shankar Ram dalam kenyataann­ya mengakui terkejut dengan berita penempatan semula Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ini.

Katanya, Ibu Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ditempatka­n di sini sejak penubuhan Malaysia.

Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bertanggun­gjawab ke atas pentadbira­n mahkamah di seluruh mahkamah tinggi di dua negeri ini diketuai seorang Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan dibantu seorang Penolong Kanan Pendaftar.

Antara fungsi dan tugas Pejabat Pendaftara­n Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak adalah mengeluark­an arahan-arahan dalaman yang berkaitan pentadbira­n kehakiman untuk dilaksanak­an selaras dengan arahan Ketua Hakim Negara dan Pejabat Ketua Pendaftar.

Fungsi tugas lain termasuk mengawal selia pentadbira­n Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak serta mengeluark­an arahan-arahan amalan dan peraturan seperti yang diarahkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia